Skip to main
Logo Malaysiakini

Polis buru suspek kes belasah lelaki guna rantai besi

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Polis sedang memburu seorang lelaki yang disyaki membelasah seorang pekerja perkhidmatan penyediaan keranda, dengan menggunakan rantai besi di sebuah rumah di Taman Chi Liung di Klang semalam.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan ACP Cha Hoong Fong berkata pekerja lelaki berumur 36 tahun itu dipukul di bahagian belakang badan, kepala, tangan kiri dan kaki oleh suspek sekitar 9.30 malam susulan pergaduhan berhubung kematian teman wanita pekerja berkenaan sebelum ini, yang juga merupakan kenalan lama suspek.

Beliau berkata sehubungan itu polis sedang berusaha mengesan seorang lelaki dikenali sebagai Chong Guang Ming bagi membantu siasatan, dan orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai lelaki itu diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan dengan menelefon 03-33762222 bagi membantu polis.

Menurutnya polis telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan yang parah menggunakan senjata.

“Selain itu polis turut membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, susulan video mangsa dipukul itu tular dan Seksyen 505 (c) Kanun Keseksaan,” katanya pada sidang media mengulas berhubung penularan sebuah video berdurasi 7.39 minit yang berkaitan dengan kes itu semalam.

- Bernama