Skip to main
Logo Malaysiakini

Tiga beranak maut kereta bertembung van kurier

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Tiga sekeluarga meninggal dunia selepas kereta dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan di Kilometer 128 Jalan Kuantan- Johor Bahru, dekat Rompin, petang tadi.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Pahang Supt Kamarulzaman Jusoh berkata mangsa disahkan maut di lokasi kejadian akibat tersepit di dalam kereta jenis Perodua Kancil dinaiki mereka.

"Kemalangan dilaporkan berlaku jam 1.30 petang dan membabitkan tiga kenderaan, termasuk kereta dinaiki mangsa yang maut.

"Berdasarkan siasatan awal, punca kejadian dipercayai akibat kecuaian pemandu van penghantaran barangan yang terbabas dan memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung kereta Kancil dinaiki mangsa dan sebuah lori dari arah bertentangan," katanya ketika dihubungi di Kuantan hari ini.

Dia berkata mangsa yang maut ialah Nur Rawiyah Abu Samah, 25 tahun yang juga pemandu kereta Kancil; bapa dan ibu Nur Rawiyah, Abu Samah Mohamed berusia 74 tahun dan Saripah Ab Malek, 59 tahun.

Berdasarkan maklumat pada kad pengenalan, semua mangsa yang maut itu menetap Kampung Gading, Jalan Muadzam Shah dekat Rompin.

Katanya, seorang kanak-kanak berusia sekitar setahun yang turut berada di dalam kereta Kancil berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Kanak-kanak itu dikenali Muhammad Harraz Mikhael Shafiq Hayqal dan kita percaya dia adalah ahli keluarga kepada mangsa yang meninggal dunia," katanya.

Pemandu van berusia 24 tahun berasal dari Kuantan, mengalami kecederaan patah bahu kanan dan cedera kedua bahagian kaki.

Manakala seorang lagi pemandu van berumur 49 tahun yang turut terbabit dalam kemalangan itu hanya mengalami kecederaan ringan.

Kamarulzaman berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Rompin untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Penolong Pengarah (Operasi) Bomba Pahang, Ismail Abdul Ghani berkata, dua pegawai dan lapan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Rompin terbabit dalam operasi mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kereta Kancil berkenaan.

Katanya, peralatan khas digunakan dalam operasi itu memandangkan mangsa berada dalam kenderaan yang remuk kesan rempuhan kuat dari hadapan.