Skip to main
Logo Malaysiakini

100 bekas pekerja tempuh hujan tuntut gaji tak dibayar

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Kira-kira 100 bekas pekerja subsidiari National Aerospace & Defence Industries Sdn Bhd mengadakan mogok di tengah hujan semalam di depan bangunan syarikat itu di Subang bagi mendesak pampasan dan gaji mereka yang tertunggak dibayar syarikat.

Mereka adalah pekerja bekas pekerja SME Ordnance Sdn Bhd, iaitu anak syarikat National Aerospace & Defence Industries Sdn Bhd dan ini mogok ketiga yang dilakukan sejak 2017.

Semalam, para pekerja yang diketuai Kesatuan Kebangsaan Pekerja Industri Petroleum dan Kimia (NUPCIW) enggan bersurai sehinggalah mereka diberi jaminan bertulis bahawa mereka akan menerima gaji tertunggak selewat-lewatnya Jumaat ini (15 April).

Mereka yang datang dengan konvoi 25 kereta dari Batu Arang mula bermogok pada tengah hari, pada mulanya mendesak syarikat membayar gaji yang tertunggak untuk tiga hingga empat bulan.

Mereka juga menuntut pampasan diberhentikan kerja, elaun yang tidak dibayar, caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Cuaca yang panas bertukar mendung dan hujan namun peserta enggan bersurai. Mereka sebaliknya berlindung di dalam kereta atau menggunakan payung.

Setiausaha Agung NUPCIW Abdul Halim Mansor berkata syarikat gagal mematuhi tarikh akhir membuat pembayaran seperti yang ditetapkan oleh Jabatan Tenaga Kerja Rawang.

"Jadi kali ini, kita tidak akan beredar sehingga dapat memorandum persefahaman (MOU) bertandatangan yang bayaran akan dibuat sebelum atau pada Jumaat ini," katanya.

SME Ordnance setuju dengan perkara itu dan wakil syarikat yang hanya dikenali sebagai Hairizal menyerahkan MOU yang ditandatangani CEO syarikat, Ahmad Nadzer Nordin kepada mereka.

Halim mewakili pekerja untuk menandatangani dokumen itu.

Abdul Halim dan Hairizal

Laman webnya menyatakan SME Ordnance sebagai syarikat pertahanan dengan pengkhususan dalam pembuatan dan pemasaran kelengkapan pertahanan. Kilangnya terletak di Batu Arang, Gombak.

Halim berkata kesemua 265 anggota kesatuan yang bekerja di kilang itu terlibat dalam pemberhentian, dengan ada yang diberi notis 30 hari pada 1 Disember 2021 manakala yang lain menerimanya pada 1 Februari lalu.

Antaranya Marina Hayati Majid, 27, yang diberhentikan bersama-sama suaminya.

"Mereka berhutang dengan saya sekurang-kurangnya RM10,000 dan suami saya kira-kira RM14,000.

Marina Haryati

"Saya menyara perbelanjaan barang keperluan rumah dengan membuat dan menjual kek sejak 2018.

"Saya perlu mulakan perniagaan sampingan sebab syarikat tak bayar ikut masa dan kami biasanya perlu tunggu tiga bulan untuk dapat gaji," katanya.

Ibu kepada dua anak itu berkata ketika mereka masih bekerja di situ, pihak syarikat membuat ancaman jika mereka bersuara tentang tunggakan gaji.

"Saya bersuara sekarang kerana saya sangat marah," katanya lagi.

Marina berkata syarikat juga tidak membuat caruman EPF dan Socso sejak empat tahun lalu tetapi potongan dibuat pada gaji mereka.

Siti Zaleha Mohamed, 45, yang telah bekerja dengan SME Ordnance selama 26 tahun, berkata hanya 40 kakitangan pengurusan dan perkeranian yang tidak dibuang.

Siti Zaleha

Katanya lagi, ada rakan sekerja yang terpaksa meminjam daripada peminjam wang kerana mereka tidak dapat membuat pinjaman di bank ekoran pembayaran gaji yang tidak tetap oleh syarikat.

Zairolnizam Kaliwon, 44, yang merupakan pengerusi kesatuan di kilang itu, berkata dia juga terpaksa meminjam wang kerana merupakan satu-satunya yang menyara keluarga dengan dua anak yang bersekolah.

Zairolnizam

"Saya sudah pinjam RM10,000 daripada kawan. Saya tak ada kerja dan tak boleh mula berniaga sebab tak ada modal.

"Susah untuk simpan wang kerana mereka bayar kita secara tak tetap," katanya lagi.

Katanya, CEO sering memberi jawapan sama ketika mereka membangkitkan isu tunggakan gaji, iaitu "kita akan usaha".

[Baca berita asal]