Skip to main
Logo Malaysiakini

Nicky Liow minta dibicara atas tuduhan pengubahan wang haram

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Ahli perniagaan Nicky Liow Soon Hee minta dibicarakan atas 26 pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM36 juta hari ini.

Dia mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Helina Sulaiman, dan berkata dia memahami pertuduhan terhadapnya.

Menurut laporan The Star, semua pertuduhan adalah di bawah Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram.

Jika sabit kesalahan, Liow berdepan hukuman penjara sehingga 15 tahun dan denda antara RM5 juta atau sehingga lima kali ganda jumlah terbabit.

Mahkamah membenarkannya diikat jamin RM1 juta dengan dua penjamin. Dia dikehendaki menyerahkan pasportnya.

Pendakwa raya berhujah bahawa dia tidak sepatutnya dibenarkan ikat jamin kerana berisiko melarikan diri.

Liow telah melarikan diri selama lebih setahun sebelum dia menyerah diri di ibu pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman di Jalan Tun Razak semalam.

Juga dikenali sebagai Datuk Seri Nicky, Liow ialah pengasas Winner Dynasty Group dan disenaraikan dalam senarai dikehendaki polis atas dakwaan penglibatannya dalam sindiket yang digelar “Geng Nicky”.

Polis percaya sindiket itu terlibat dalam pelbagai jenayah terancang seperti penipuan dan pengubahan wang haram.

Liow dilaporkan disiasat mengikut Seksyen 130V hingga 130ZB Kanun Keseksaan kerana aktiviti berkaitan jenayah terancang.