Skip to main
Logo Malaysiakini

SPRM dapati tiada unsur rasuah projek jeti kayu RM50,000

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

SPRM telah menjalankan pemeriksaan terhadap jeti kayu bernilai RM50,000 di Kampung Mutap di Miri, Sarawak dan tidak mendapati ada sebarang unsur rasuah dalam projek itu.

Menurut sumber dalaman suruhanjaya tersebut, ibu pejabat telah mengarahkan SPRM Sarawak untuk meneliti projek di bawah Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri itu, susulan dakwaan kos yang mahal seperti dibangkitkan orang ramai.

"SPRM Sarawak telah diarahkan untuk mendapatkan maklumat lanjut berhubung perkara ini.

"Hasil semakan yang dibuat tidak menunjukkan ada rasuah atau penyelewengan," kata sumber itu kepada Malaysiakini hari ini.

Pengarah Kanan Siasatan SPRM Hishamuddin Hashim mengesahkan perkara itu tetapi tidak mengulas lanjut.

JKR Sarawak baru-baru ini mengundang kritikan hebat setelah memuat naik beberapa gambar menunjukkan penyerahan jeti kayu baru di Kampung Mutap, yang menurutnya menelan kos RM50,000.

Ramai yang menyuarakan keraguan terhadap mutu jeti tersebut, dan ada yang mempersoal peruntukan RM50,000 yang dikeluarkan kerajaan untuk apa yang dilihat sebagai struktur kayu yang cukup ringkas.

Semalam, JKR Sarawak dalam kenyataan mempertahankan projek itu, berkata peruntukan itu turut merangkumi kos keselamatan memandangkan sungai itu dihuni buaya serta akses jalan yang teruk ke kampung itu. Jeti itu terletak 18 kilometer atau 33 minit perjalanan dari bandar kecil Bekenu, berdasarkan Google Maps. 6

Menurut jabatan itu, jambatan itu menggunakan kayu belian dengan harga RM9,000 per meter padu yang nilainya “bawah harga pasaran”.

Namun penjelasan itu tidak diterima baik oleh PH Sarawak yang menggesa SPRM agar menyiasat projek itu.