Skip to main
Logo Malaysiakini

Saravanan nafi kementerian ada kaitan portal pengambilan pekerja

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Menteri Sumber Manusia M Saravanan hari ini menafikan sebarang kaitan dengan portal pengambilan pekerja pembantu rumah yang memaparkan logo kementeriannya dan berjanji untuk menyiasat MyOCS.com.my.

“Kami tidak melantik 3S Malaysia dan saya tidak tahu siapa mereka.

“Setakat ini, kami hanya mengesahkan akan menggunakan sistem satu saluran yang akan diintegrasikan dengan portal dalaman sedia ada.

"Laman web MyOCS bukan sebahagian daripada kementerian," jelasnya.

Menteri itu juga mengesahkan bahawa keseluruhan pengambilan pekerja melalui sistem satu saluran akan dikaitkan dengan Sistem Pengurusan Berpusat Pekerja Asing (FWCMS) yang disediakan oleh Bestinet Sdn Bhd.

Apabila dimaklumkan bahawa ahli 3S Malaysia Sdn Bhd juga telah mengadakan taklimat dengan agensi pekerjaan swasta mengenai aliran sistem itu, Saravanan mengulangi penafian yang dia tidak tahu menahu mengenai syarikat itu.

Permohonan pekerja migran

Saravanan bercakap kepada Malaysiakini selepas sidang media yang diadakan di HRD Corp mengumumkan bahawa 24,560 permohonan pekerja asing dijangka melengkapkan peringkat temu duga menjelang 27 April manakala 154,891 lagi sedang menunggu kelulusan.

Turut hadir pada sidang media itu ialah Ketua Pengarah Jabatan Buruh Asri Rahman yang berjanji untuk meneliti portal MyOCS itu.

Pada 3 Mac, Malaysiakini melaporkan maklumat daripada sumber bahawa 3sMalaysia.com akan menggantikan sistem FWCMS dalam pengambilan pekerja domestik ke Malaysia.

Menjelang 15 Mac, empat persatuan yang mewakili agensi pekerjaan swasta berdaftar kerajaan mendakwa semasa sidang akhbar bahawa proses itu boleh mendatangkan risiko tidak wajar yang tidak sanggul diambil mereka.

Pemimpin empat persatuan ini antara yang hadir taklimat yang dikendalikan 3S Malaysia pada 2 Mac lalu anjuran oleh Jabatan Tenaga Kerja.

Hanya pada bulan lepas, MyOCS.com.my dikenali sebagai 3sMalaysia.com.

Berikutan laporan Malaysiakini pada 3 Mac, portal itu menjadi tidak boleh diakses atas sebab yang tidak diketahui, tetapi cubaan baru untuk mengakses 3sMalaysia.com pada 1 April telah dilencongkan ke MyOCS.com.my.

[Baca berita asal]