Skip to main
Logo Malaysiakini

Wanita akui ahli seumur hidup PKR, dakwa dilarang tanding ketua cabang

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

PEMILIHAN PKR | Seorang wanita yang mengakui dirinya ahli seumur hidup PKR mendakwa dia dinafikan bertanding jawatan ketua cabang atas alasan dipecat daripada parti itu pada November 2020 tanpa pengetahuannya.

Justeru, wanita itu meminta Presiden PKR Anwar Ibrahim untuk campur tangan bagi menyelesaikan masalah ini.

"Saya ke ibu pejabat parti hari ini. Dan saya diberitahu bahawa saya telah dipecat daripada parti pada 2020.

"Alasannya, saya tidak tinggal di kawasan Sungai Siput. Saya tidak mengundi di Sungai Siput dan kebanyakan nombor telefon yang diberi tiada dalam perkhidmatan.

"Saya menjadi ahli seumur hidup pada 2018. Dilantik sebagai bendahari cabang Sungai Siput. Masa itu tiada masalah dengan alamat dan nombor telefon saya.

"Tiba-tiba, saya dipecat atas alasan-alasan ini. Jadi, ketua cabang tidak ada isu dengan saya semua baik. Kalau, dia tidak senang saya terus dipecat. Di mana keadilan?" katanya kepada Malaysiakini.

Menjelaskan lanjut, wanita itu hari ini berkata dia tidak menerima sebarang surat tunjuk sebab atau surat pemecatan berhubung keputusan dipecatnya.

Wanita itu selanjutnya membangkitkan soalan jika dia telah dipecat pada Nov 2020, kenapa dia masih ditawarkan jawatan PKR pada 2021.

"Pada 19 Julai 2021, saya dihubungi pejabat Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Perak menawarkan jawatan timbalan pengerusi biro integrasi MPN Perak.

"Bagaimana, saya ditawarkan jawatan dalam parti kalau saya telah dipecat pada 2020," soalnya.

Dia juga memperpanjangkan perbualan WhatsApp dengan pejabat MPN Perak sebagai bukti.

Sebelum ini, dua individu mendakwa nama mereka tercicir daripada senarai keanggotaan secara misteri.

Malaysiakini telah menghubungi pejabat presiden untuk mendapatkan penjelasan.

Malaysiakini tidak dapat menyiarkan nama wanita itu kerana kes gangguan seksual berkenaan masih dalam siasatan pihak polis dan kes saman sivil sedang berlangsung di mahkamah.

Wanita itu juga sebelum ini pernah mendakwa Ahli Parlimen Sungai Siput, S Kesavan melakukan gangguan seksual terhadapnya.

Pada 17 Mei lalu, Malaysiakini melaporkan Kesavan dan bekas bendahari PKR cabang Sungai Siput saling membuat laporan polis antara satu sama lain.

Dalam laporan polis itu, wanita berkenaan mendakwa menjadi mangsa gangguan seksual anggota parlimen PKR berkenaan sejak Disember tahun lalu.

Kesavan pula membuat laporan polis mengadu tentang trauma dan gangguan jiwa terhadapnya.

Wanita itu memfailkan saman terhadap Kesavan selepas ahli parlimen itu mengeluarkan kenyataan menafikan dakwaan melakukan gangguan seksual.

Perbicaraan bermula pada Mac 2021 dan dibicara selama dua hari sebelum ditangguh beberapa kali sebelum bermula semula pada 5 Januari 2022.

Kesavan diwakili firma Armand Ali & Co, manakala pihak plaintif diwakili peguam Rueben Mathiavaranam.

Malaysiakini tidak dapat menyiarkan nama wanita itu kerana kes gangguan seksual berkenaan masih dalam siasatan