Skip to main
Logo Malaysiakini

UM: Pusingan U kelas dalam talian kerana salah faham

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Universiti Malaya menjelaskan bahawa tindakan pusingan-U yang dilakukan dalam membenarkan pelajar memilih untuk meneruskan kelas dalam talian adalah kerana terdapat salah faham.

Ia berikutan aduan Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya (UMSU) yang meminta supaya ditingkatkan fleksibiliti untuk pelajar yang memerlukan kaedah pembelajaran sedemikian.

Menurut UMSU, Fakulti Sastera dan Sains Sosial telah pun mengeluarkan kenyataan pada 8 April lalu untuk membenarkan kelas dalam talian diadakan pada semester berkenaan.

Bagaimanapun, ia mendakwa bahawa kenyataan itu ditarik semula pada hari berikutnya kerana campur tangan dari pentadbiran universiti.

Bahagian Komunikasi Korporat Universiti Malaya memberitahu Malaysiakini bahawa ini adalah disebabkan salah faham.

Menurutnya, pentadbiran universiti dimaklumkan oleh fakulti berkenaan mengenai insiden tersebut dan diberitahu bahawa terdapat salah faham berlaku sehingga menyebabkan maklumat yang salah.

"Kami akan memastikan bahawa langkah-langkah diambil untuk mengelakkan kejadian seperti itu berlaku pada masa akan datang,” katanya dalam jawapan bertulis.

Ia menambah bahawa universiti itu akan kerap bertukar maklum balas dengan pensyarah, kakitangan, dan pelajar sebelum sebarang keputusan dilakukan.

Notis pada saat akhir

Semalam, UMSU berkata, notis pembelajaran bagi kelas bersemuka perlu dikeluarkan sebelum semester bermula bagi membolehkan pelajar membuat persediaan awal seperti mencari tempat tinggal.

UMSU mendakwa pimpinannya diberitahu dalam mesyuarat sebelum ini bahawa pengecualian akan dipertimbangkan. Tetapi penjelasan yang dibuat buat masa ini menyatakan bahawa hanya pelajar antarabangsa dengan sekatan perjalanan serta pelajar yang mempunyai masalah kesihatan boleh memohon pengecualian tersebut.

UM berkata, notis pemberitahuan telah dikeluarkan pada 23 Mac, iaitu pada minggu kedua semester ini berhubung pelaksanaan sesi kelas bersemuka bermula minggu kelapan semester, iaitu enam minggu sebelum pelaksanaannya.

Ia menambah bahawa notis pemberitahuan itu turut dimaklumkan melalui platform media sosial rasmi universiti pada minggu ketiga semester tersebut.

“Pihak pengurusan universiti juga bersetuju memberi bantuan penginapan kepada pelajar melalui Bahagian Hal Ehwal Pelajar khususnya daripada keluarga B40.

“Pelajar boleh memohon secara dalam talian. Bantuan tambahan dalam menyediakan bantuan kewangan melalui zakat dan dana kebajikan, peranti pembelajaran, serta makanan dan keperluan peribadi juga akan diteruskan,” katanya.

Beri fleksibiliti

UM menegaskan bahawa pelaksanaan sesi kelas bersemuka akan diadakan mulai minggu kelapan dan minggu berikutnya, tetapi menyatakan akan ada kelonggaran tertentu diberikan, bergantung kepada kesesuaian.

"Penting untuk mengambil perhatian bahawa pihak pengurusan telah memberi kelonggaran kepada fakulti masing-masing, pembelajaran bagi kursus universiti dijalankan secara dalam talian, dalam mod hibrid, atau bersemuka, bergantung kepada kesesuaian.

“Bagi kes Covid-19 dan kes-kes tertentu, pihak pengurusan universiti, melalui dekan atau pengarah fakulti, akademi, pusat, akan membenarkan pengecualian daripada mod bersemuka, dengan syarat permohonan dikemukakan bersama dokumen sokongan yang sepatutnya.

"Program pembelajaran jarak jauh dan program bersama pelajar antarabangsa yang masih belum dibenarkan masuk ke Malaysia disebabkan penutupan pintu masuk antarabangsa di beberapa negara, akan dijalankan secara hibrid," tambahnya.