Skip to main
Logo Malaysiakini

Kes saman Apandi ke atas Dr M, k'jaan selesai cara mediasi

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Kes saman Mohamed Apandi Ali ke atas kerajaan berhubung penamatan perkhidmatannya sebagai peguam negara (AG) berjaya diselesaikan secara baik.

Peguamnya Baljit Singh Sidhu mengesahkan bahawa hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Akhtar Tahir merekodkan penyelesaian semasa pengurusan kes perkara itu pagi ini.

“Tanpa prejudis, kerajaan bersetuju untuk menyelesaikan saman ini tanpa pengakuan liabiliti. Syarat penyelesaian kekal sulit.

"Kes dibatalkan tanpa kebebasan untuk memfailkannya semula dan tanpa perintah untuk kos," kata peguam itu kepada media hari ini.

Apandi turut diwakili peguam Abd Shukor Ahmad dan Nor Shahadah Saari.

Kerajaan dan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad diwakili oleh peguam kanan persekutuan Donald Joseph Franklin, Shahriah Shapiee dan Abdul Hakim Ab Keram @ Ab Karem.

Sebelum ini usaha untuk menyelesaikan saman itu secara mediasi tahun lalu tidak berjaya.

Pada 13 Oktober 2020, Apandi memfailkan saman menamakan Dr Mahathir dan kerajaan, masing-masing sebagai defendan pertama dan kedua, memohon antara lain perisytiharan penamatan kontraknya sebagai AG yang dibuat semasa pentadbiran Pakatan Harapan pada 2018 adalah tidak sah.

Dalam pernyataan tuntutannya, Apandi yang adalah Hakim Mahkamah Persekutuan sebelum dilantik sebagai AG pada 2015, juga menuntut perisytiharan bahawa defendan pertama telah menyalahgunakan kedudukannya dan bahawa defendan pertama telah mendorong berlakunya pelanggaran kontrak di antara beliau dan kerajaan Malaysia.

Dia juga memohon perisytiharan bahawa wujud kegagalan pematuhan terhadap Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan dalam pemecatannya dan bahawa pemecatannya sebagai AG adalah tidak mengikut undang-undang, dan oleh itu tidak sah.

Apandi memohon ganti rugi khas sebanyak RM2,233,599.36, ganti rugi am, ganti rugi teladan dan/atau punitif, kos dan relief lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.

Bagaimanapun, menerusi penyataan pembelaan yang difailkan pada November 2020, Dr Mahathir dan kerajaan menegaskan bahawa penamatan kontrak itu adalah sah sah serta mengikut peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

[Baca berita penuh]