Skip to main
Logo Malaysiakini

8 ditahan atas dakwaan cuba halang pengusiran di Chepor Impian

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Empat aktivis Parti Sosialis Malaysia (PSM) antara lapan individu ditahan polis setelah didakwa cuba menghalang pengusiran lapan petani di Chepor Impian, Perak, hari ini.

Agastim Mariasosai, 63 dan Kesavan Vijayan, 29 ditahan polis tengah hari tadi ketika cuba menghalang tindakan pengusiran terhadap lapan petani berkenaan.

Sekitar pukul 5.30 petang pula, polis menahan dua lagi aktivis dan empat petani.
Mereka adalah S Nagenteran dan M Kavitha daripada PSM. Empat petani yang ditahan adalah Liew Kook Soon, Liew Yu Ming, Liew Yu Tsong dan Liew Yu Lim.

Mereka dibawa ke Ibu Pejabat Polis (IPD) Ipoh.

Ketika dihubungi, Pengerusi PSM Kebangsaan Dr Michael Jeyakumar mengesahkan penahanan tersebut.

"Mereka kini ditahan di IPD Ipoh dan sehingga sekarang mereka masih tidak diambil kenyataan.

"Kami ahli PSM bersama lapan petani hari ini cuba menghalang pengusiran paksa tersebut kerana pihak swasta yang menuntut hak ke atas tanah itu tidak mempunyai perintah mahkamah.

"Ketika kami cuba memberitahu bahawa petani-petani ini tidak boleh diusir tanpa perintah mahkamah. Pihak polis memberitahu bahawa tidak perlu perintah mahkamah kerana tanah itu digazet kepada pihak swasta,” katanya.

Jeyakumar mendakwa tanah pertanian itu telah pun dimusnahkan.

Menurutnya, tanah yang diusahakan oleh petani-petani kecil ini pada asalnya ialah tanah kerajaan, sebelum dijual kepada pihak swasta.

Petani-petani di kawasan Chepor Impian telah bercucuk tanam di situ selama lebih 40 tahun.

"Aktiviti pertanian merupakan sumber pendapatan utama mereka. Petani-petani ini menghasilkan tanaman seperti ubi keledek, jagung, sayur-sayuran dan pelbagai tanaman kontan lain yang dipasarkan ke pasaran tempatan.

"Semua petani kecil ini menghabiskan kebanyakan masa mereka di kebun setiap hari untuk pengeluaran sayuran yang menjadi makanan masyarakat tempatan.

"Kerajaan Negeri Perak harus mengutamakan kepentingan petani-petani kecil kerana mereka menyumbang kepada jaminan bekalan makanan untuk rakyat," katanya.