Skip to main
Logo Malaysiakini

Kes langgar mati: MP persoal tertuduh dinafikan ikat jamin

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Beberapa wakil rakyat pembangkang bersuara selepas Mahkamah Tinggi Johor Bahru yang menolak permohonan penangguhan hukuman oleh Sam Ke Ting, sementara menunggu rayuan.

Mahkamah memutuskan Sam, yang hari ini disabit bersalah atas pertuduhan memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian lapan remaja, perlu mendapatkan kebenaran daripada Mahkamah Rayuan dahulu sebelum memohon penangguhan hukuman.

Beberapa wakil rakyat pembangkang berkata keputusan itu tidak adil memandangkan ada duluan yang membenarkan penangguhan itu.

"Jika (bekas perdana menteri) Najib Razak boleh diikat jamin dan ke mana-mana sementara menunggu rayuan, Cik Sam juga patut begitu," kata Ahli Parlimen Bayan Baru Sim Tze Tzin di Facebook.

Ahli Parlimen Ipoh TImur Wong Kah Woh pula berkata keputusan itu mengejutkan kerana Sam tidak berisiko melarikan diri (flight risk).

"Sejak hari pertama kes ini, tiada risiko melarikan diri.

"Keputusan ini memerlukan semakan semula oleh mahkamah rayuan. Rayuan akan dilihat sia-sia jika permohonan penangguhan hukuman ditolak," kata Wong.

Sementara itu, DAP dan MCA juga menawarkan bantuan perundangan kepada SAM.

Ketua Ketua Biro Penerangan MCA Chan Quin Er, yang juga adalah bekas timbalan pendakwa raya, berkata pihaknya akan menghubungi keluarga Sam untuk menawarkan perkhidmatan secara percuma.

Perkara sama disuarakan Timbalan Pengerusi DAP Johor Teo Nie Ching.

Sam didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Lingkaran Dalam, Johor Bahru, pada 3.20 pagi 18 Feb 2017.

Pada 2019, Mahkamah Majistret membebaskannya selepas pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadapnya.

Keputusan itu dibatalkan oleh Mahkamah Tinggi dan dan peringkat pembelaan dijalankan di Mahkamah Majistret.

Oktober lalu, di akhir peringkat pembelaan, Mahkamah Majistret sekali lagi membebaskan Sam.

Keputusan itu dibatalkan Mahkamah Tinggi hari ini, yang turut menjatuhkan hukuman penjara enam tahun dan denda RM6,000 terhadapnya.