KM Sabah mahu k’jaan pusat selesaikan isu tiket penerbangan mahal
Kerajaan Sabah hari ini mendesak kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Pengangkutan untuk mencari jalan bagi mengurangkan harga tiket penerbangan laluan domestik, kata Ketua Menteri Datuk Hajiji Noor.
Menteri Kewangan Sabah itu berkata tambang penerbangan yang tinggi telah meningkat dengan ketara sehingga membebankan rakyat yang terpaksa menaiki pesawat ke Kuala Lumpur dari Sabah atau sebaliknya.
Beliau berkata Kabinet Negeri telah membincangkan perkara itu semasa mesyuarat mingguannya di sini hari ini dan memandang serius kenaikan tambang penerbangan yang terlalu tinggi.
“Sama ada untuk kerja atau masa lapang, tambang udara yang mahal telah membebankan individu dan mereka yang berkeluarga. Ini juga tidak selari dengan hasrat untuk membawa masuk lebih ramai pengunjung ke Sabah sekarang susulan sempadan negara telah dibuka semula pada 1 April,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Bernama sebelum ini melaporkan syarikat penerbangan komersial tempatan yang menyediakan laluan penerbangan dari Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu dan Kuching menawarkan tiket antara RM300 dan ke atas untuk penerbangan pergi balik semasa bukan hari perayaan.
Bagaimanapun, semakan laman web syarikat penerbangan komersial baru-baru ini, menyaksikan tiket penerbangan melonjak sehingga RM2,000 (penerbangan pergi balik) iaitu peningkatan kira-kira 566 peratus, menjelang tempoh perayaan Aidilfitri dari 29 April hingga 8 Mei.
Hajiji berkata laporan baru-baru ini mengenai kenaikan harga tiket penerbangan bagi laluan dari Kuala Lumpur ke Sabah semasa musim perayaan Aidilfitri telah menimbulkan kebimbangan dan kerajaan negeri mahu kerajaan Persekutuan dan Kementerian Pengangkutan mencari jalan mengatasi masalah itu.
Ketua Menteri berkata ramai penduduk Sabah sama ada belajar atau bekerja di semenanjung dan kebanyakan mereka mahu kembali ke kampung halaman untuk meraikan Hari Raya Aidilfitri bersama keluarga.
“Kami mendesak Kementerian Pengangkutan untuk menyelesaikan segera masalah ini dan mengurangkan harga tiket, yang telah melambung kira-kira 566 peratus berbanding tambang bukan musim perayaan bagi laluan sama.
“Tetapi dengan harga tiket penerbangan yang melambung tinggi, ramai yang mungkin tidak dapat kembali ke kampung halaman semata-mata kerana tidak mampu. Ia membebankan rakyat, justeru kami, Kabinet Negeri merasakan pihak berkuasa berkaitan perlu bertindak,” katanya.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai