Skip to main
Logo Malaysiakini

Kes langgar mati remaja berbasikal lajak: Kerani akan fail rayuan

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Kerani yang dijatuhkan hukuman penjara enam tahun atas kesalahan memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian lapan remaja pada 2017 akan memfailkan rayuan.

Peguam kepada Sam Ke Ting, Faizal Mokhtar berkata pihak pembelaan akan memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan esok.

"Kami telah mengadakan perbincangan untuk merayu terhadap keputusan mahkamah. Mudah-mudahan, saya dapat menyediakan dokumen hari ini dan memfailkan rayuan esok," katanya seperti dipetik portal Free Malaysia Today.

Faizal turut menyeru orang ramai agar mendoakan pihak pembelaan dan anak guamnya agar dia dapat membawa kes itu dengan baik di peringkat Mahkamah Rayuan.

Dia juga memberitahu bahawa Sam kelihatan "tenang" ketika keputusan mahkamah dibacakan.

Hakim Abu Bakar Katar hari ini menjatuhkan hukuman penjara enam tahun ke atas Sam itu bermula hari ini. Dia turut didenda RM6,000.

Dalam penghakimannya, Abu Bakar berkata pembelaan gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan yang telah membuktikan dengan jelas intipati kesalahan.

"Perbuatan responden yang memandu cara melulu atau merbahaya telah menyebabkan kehilangan lapan lapan nyawa. Mahkamah ini mengikuti pendekatan nas duluan yang mengambil kira bilangan mangsa yang terlibat dalam menjatuhi hukuman," kata beliau.

Keputusan hari ini mengetepikan keputusan Mahkamah Majistret pada 10 Oktober tahun lepas, yang melepaskan dan membebaskan wanita itu daripada pertuduhan berkenaan.

Pendakwaan memfailkan rayuan terhadap keputusan itu dan pada 18 Feb 2021, Mahkamah Tinggi telah mengarahkan Sam, yang merupakan seorang jurujual ketika kejadian, supaya membela diri.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Lingkaran Dalam, Johor Bahru, pada 3.20 pagi 18 Feb 2017.

Remaja yang maut dalam kejadian itu ialah Mohamad Azrie Danish Zulkefli, 14; Muhamad Shahrul Izzwan Azzuraimie, 14; Muhammad Firdauz Danish Mohd Azhar, 16; Fauzan Halmijan, 13; Mohamad Azhar Amir, 16; Muhammad Harith Iskandar Abdullah, 14; Muhammad Shahrul Nizam Marudin, 14 dan Haizad Kasrin, 16.