Skip to main
Logo Malaysiakini

K'jaan tidak lagi beri vaksin Covid-19 pada kanak-kanak seleps 15 Mei

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Kementerian Kesihatan tidak akan lagi memberikan dos pertama vaksin Covid-19 kepada kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun bermula 16 Mei ini.

Justeru, Timbalan Menteri Kesihatan Dr Noor Azmi Ghazali berkata ibu bapa yang masih belum memutuskan sama ada anak mereka perlu divaksin atau tidak, perlu berbuat demikian sebelum tarikh itu.

Noor Azmi turut menggesa ibu bapa agar mendaftarkan anak mereka untuk menerima vaksin menerusi aplikasi MySejahtera selewat-lewatnya 8 Mei ini agar temu janji dapat ditetapkan sebelum tarikh akhir iaitu 15 Mei.

"Saya menyeru ibu bapa yang masih belum membuat keputusan untuk tidak melepaskan peluang mendapatkan vaksin secara percuma melalui PICKids sebelum tarikh akhir dos pertama.

"Pilihlah untuk vaksinkan anak anda bagi mengelakkan komplikasi jangkitan Covid-19 yang teruk," katanya dalam kenyataan hari ini.

Kanak-kanak yang lahir pada 2017 dan masih belum mencecah usia lima tahun pada 15 Mei tidak tertakluk dengan keputusan ini.

Menurut Noor Azmi yang mengetuai program PICKids, mereka masih boleh mendaftar menerusi MySejahtera dan perincian lanjut akan diumumkan kemudian.

Katanya, Pasukan Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF) memutuskan untuk menetapkan tarikh akhir pemberian vaksin ekoran permintaan vaksin yang rendah.

"Bagi mengelakkan pembaziran vaksin Corminaty (Pfizer) kanak-kanak yang tidak digunakan dalam tempoh enam bulan selepas dikeluarkan oleh pengilang, penetapan tarikh akhir dos 1 perlu dibuat," katanya.

Ini bermakna vaksin Pfizer tidak lagi ditawarkan untuk kumpulan usia isu sama ada di kemudahan kesihatan kerajaan mahupun swasta selepas 15 Mei. Vaksin Sinovac masih boleh dibeli di pusat kemudahan swasta.

Noor Azmi berkata, setakat semalam hanya 1,371,120 atau 38.6 peratus kanak-kanak telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin dan 195,865 orang telah menerima dua dos.

Menurut repositori data Github Kementerian Kesihatan, sejumlah 49 kanak-kanak dalam kumpulan usia itu telah meninggal dunia akibat Covid-19, sejak ia mula menular sehingga 12 April tahun ini. Tiada mangsa yang telah menerima vaksin Covid-19.

Ia walaupun kanak-kanak secara umumnya berdepan risiko lebih rendah untuk mengalami gejala teruk berbanding golongan dewasa.

Sementara itu, Noor Azmi berkata CITF-C turut memutuskan meminda Borang Persetujuan Suntikan Vaksin COVID-19 untuk Kanak-kanak.

Tiada lagi bahagian berikut dalam borang baru:

”2. Saya bertanggungjawab ke atas risiko yang mungkin berlaku kepada kanak-kanak akibat keputusan/tindakan saya ini kerana manfaat vaksin adalah jauh lebih baik daripada kesan sampingannya”.

"Pengguguran klausa ini bertujuan untuk mengelakkan kekeliruan dan menzahirkan amalan sedia ada yang mana KKM tidak pernah mengabaikan dan sentiasa bersedia menyediakan bantuan kesihatan yang sewajarnya apabila berlaku kesan sampingan yang berkaitan akibat penerimaan vaksin," katanya.