Skip to main
Logo Malaysiakini

Kompaun maksimum terhadap Serba Dinamik, CEO, pengarah dan pegawai

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) mengenakan kompaun maksimum terhadap Serba Dinamik Holdings Bhd, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Pengarah Eksekutif dan dua pegawainya sebanyak RM3 juta setiap seorang kerana mengemukakan penyata kewangan palsu kepada Bursa Malaysia Securities Bhd.

Menurut SC, individu tersebut ialah CEO dan Pengarah Urusan Kumpulan Serba Dinamik Dr Mohd Abdul Karim Abdullah, Pengarah Eksekutif Syed Nazim Syed Faisal, Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan Azhan Azmi serta Naib Presiden Akaun dan Kewangan Muhammad Hafiz Othman.

“Muhammad Hafiz juga telah dikompaun sebanyak RM1 juta lagi, saman maksimum yang dibenarkan, kerana memalsukan rekod perakaunan syarikat subsidiari Serba Dinamik Sdn Bhd, satu kesalahan di bawah Seksyen 368(1)(b)(i) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (CMSA),” katanya dalam kenyataan semalam.

Katanya, dia telah dikenakan pertuduhan kerana terlibat dalam mengarahkan penyediaan dokumen palsu berkaitan penjualan Serba Dinamik Sdn Bhd.

Menurut SC, kompaun itu dikenakan dengan persetujuan bertulis daripada pendakwa raya dan selaras dengan kuasa di bawah Seksyen 373(1) CMSA.

“Ini berikutan keputusan pendakwa raya menerima representasi yang dikemukakan kepada Pejabat Peguam Negara oleh Serba Dinamik dan individu terbabit berkenaan pertuduhan yang belum diselesaikan di mahkamah,” katanya.

SC berkata ini merupakan kompaun maksimum yang boleh dikenakan di bawah Seksyen 369(a)(B) CMSA atas pengemukaan maklumat palsu dalam penyata kewangan syarikat.

“Serba Dinamik dan individu terbabit telah dikenakan pertuduhan kerana mengemukakan penyata palsu tersebut kepada Bursa Malaysia Securities Bhd pada 26 Feb 2021, berhubung dengan angka hasil sebanyak RM6.014 bilion yang terkandung dalam laporan suku tahun bagi keputusan disatukan bagi suku tahun dan tahun berakhir 31 Dis 2020,” katanya.

-Bernama