Skip to main
Logo Malaysiakini

Pemilihan PKR: Dua MB bersaing di peringkat cabang

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Dua menteri besar dalam PKR tidak akan mendapat laluan mudah dalam pemilihan parti itu peringkat cabang apabila bakal menerima saingan hebat daripada pencabar masing-masing,

Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari yang akan mempertahankan jawatan ketua cabang PKR Gombak akan ditentang Farhash Wafa Salvador iaitu bekas pembantu kepada Presiden PKR, Anwar Ibrahim.

Farhash dianggap sebagai orang luar bagi PKR Gombak memandangkan kubunya di Kuala Kangsar, Perak, di mana dia merupakan ketua cabang di situ.

Dia berdepan saingan sengit menentang Amirudin (atas, kiri) yang dipilih sebagai ketua cabang PKR Gombak dengan majoriti besar.

Amirudin juga adalah pengerusi PKR Selangor, jawatan yang dilantik oleh Anwar.

Sementara itu Menteri Besar Negeri Sembilan, Aminuddin Harun (atas, kanan) tidak akan mempertahankan jawatannya sebagai ketua cabang PKR Tampin sebaliknya akan bertanding di tempat lain.

Aminuddin akan mencabar penyandang ketua cabang PKR Port Dickson, M Ravi serta dua calon lain.

Pemilihan PKR cabang Port Dickson akan menyaksikan pertarungan dua gergasi.

Kedua-dua calon berkenaan merupakan Adun Negeri Sembilan selama tiga penggal.

Ravi memegang jawatan ketua cabang PKR Port Dickson selama dua penggal walaupun bukan secara berturut-turut.

Ketika pemilihan parti pada 2018, dia memenangi pemilihan itu dengan majoriti besar empat angka.

Menariknya, Aminuddin dan Ravi masing-masing adalah pengerusi dan timbalan pengerusi PKR Negeri Sembilan.

Ketika dihubungi, Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR), Azmi Hassan berpendapat Amirudin dan Aminuddin tidak akan menerima laluan mudah kerana kedua-duanya merupakan sasaran untuk dijatuhkan.

Menurutnya, Amirudin masih dianggap sebagai anak didik bekas timbalan presiden PKR Azmin Ali - seorang yang amat dibenci oleh penyokong parti itu.

Katanya, terdapat usaha menjatuhkan Aminuddin daripada jawatan menteri besar tahun lepas tetapi tidak berjaya.

"Biasanya pemimpin yang memegang jawatan menteri besar akan diberi laluan untuk memenangi jawatan ketua cabang tanpa bertanding. Ini adalah amalan biasa dalam PKR dan parti politik lain.

"Namun, ia berbeza di Negeri Sembilan dan Selangor, kerana kedua-dua pemimpin itu berdepan beberapa isu,” katanya kepada Malaysiakini.

Jawatan ketua cabang parti, katanya, memiliki peranan penting kerana ia boleh menentukan sama ada seseorang itu boleh dicalonkan dalam pilihan raya atau jawatan lain.

Pemilihan PKR akan berlangsung dari 13 hingga 18 Mei. Dua cabang PKR - Julau dan Selangau - tidak menyaksikan sebarang pencalonan untuk mana-mana jawatan.

Pertandingan ‘gergasi’ bagi ketua cabang lain

Ahli parlimen Batu - Batu P Prabakaran akan menentang pendahulunya dan ketua cabang PKR Batu, iaitu Tian Chua.

Setiawangsa - Pelakon Afdlin Shauki Aksan yang masih baru dalam parti itu mencabar penyandang dan ahli parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad.

Selayang - Bekas Adun Rawang, Gan Pei Nei akan menentang Ahli Parlimen Selayang, William Leong, yang merupakan penyandang ketua cabang.

Pandan - Naib presiden dan penyandang ketua cabang, Rafizi Ramli dicabar dua lagi individu.

Sungai Petani - Jawatan ketua cabang ini kosong. Tiga calon bersaing ialah ahli parlimen Sungai Petani, Johari Abdul, Adun Bakar Arang, Ooi Tze Min dan Mohd Zaidi Othman.

Simpang Renggam - Bekas menteri pendidikan, Maszlee Malik akan berdepan penyandang setiausaha cabang, Faizul Abd Ghani.