Skip to main
Logo Malaysiakini

Tragedi basikal: Bekas presiden Majlis Peguam cadang rayuan automatik

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan
  • Dikemas kini dengan berita penuh.

Bekas presiden Majlis Peguam Salim Bashir menggesa kerajaan untuk membuat pindaan undang-undang untuk membenarkan rayuan secara automatik.

Ia selepas kes seorang kerani yang dijatuh hukuman enam tahun buat masa ini tidak mempunyai hak secara automatik untuk membuat rayuan.

Sebaliknya, Sam Ke Ting perlu memohon kebenaran untuk merayu kepada Mahkamah Rayuan.

Mahkamah Tinggi Johor Bahru semalam mensabitkan dan menjatuhkan hukuman penjara enam tahun dan denda RM6,000 bagi kesalahan memandu secara melulu yang menyebabkan kematian lapan remaja penunggang basikal pada 2017.

Sam Ke Ting

Sementara menunggu keputusan kebenaran merayu permohonannya di Mahkamah Rayuan, Sam terpaksa di penjara kerana Mahkamah Tinggi menolak permohonannya untuk penangguhan sementara hukuman sehingga proses rayuan selesai.

Memandangkan kes memandu secara melulu dibicarakan di Mahkamah Majistret dan bukannya Mahkamah Sesyen, dia perlu mendapatkan kebenaran daripada Mahkamah Rayuan terlebih dahulu sebelum dia boleh meneruskan rayuan.

Bercakap kepada Malaysiakini, Salim berkata pembaharuan undang-undang perlu kerana kes seperti Sam yang dibicara di Mahkamah Majistret menyebabkan mahkamah secara amnya tidak membenarkan penangguhan sementara hukuman.

“Secara amnya rayuan tidak berfungsi sebagai penangguhan pelaksanaan hukuman kecuali sebat.

“Walaupun tiada larangan jelas untuk memberikan penangguhan pelaksanaan hukuman dalam mana-mana kes yang memerlukan kebenaran merayu, budi bicara kehakiman secara amnya tidak membenarkannya, dengan mengambil kira sebab kebenaran merayu diperlukan dan oleh itu rayuan tidak pasti secara eksplisit.

“Saya berpandangan syarat permohonan kebenaran rayuan perlu dimansuhkan bagi semua kes yang melibatkan hukuman penjara. Pada masa ini, pihak pendakwaan tidak perlu memfailkan kebenaran merayu terhadap pembebasan atas perkara di bawah bidang kuasa majistret, tidak seperti orang yang disabitkan kesalahan.

“Oleh itu, adalah menjadi kewajipan bagi kerajaan untuk mengkaji semula keperluan kebenaran dalam semua kes daripada Mahkamah Majistret.

"Sebagai alternatif, saya bersetuju dengan cadangan untuk meminda undang-undang dalam kes tertentu yang membawa hukuman penjara mandatori dalam bidang kuasa Mahkamah Sesyen untuk memintas keperluan untuk mendapatkan kebenaran sebelum memfailkan rayuan," kata Salim.

[Baca berita asal]