Skip to main
Logo Malaysiakini

MySejahtera: PAC dengar keterangan Zafrul, Khairy

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Jawatankuasa Kira-kira Negeri (PAC) hari ini mendengar keterangan Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz dan Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkenaan aplikasi MySejahtera.

Menurut Pengerusi PAC Wong Kah Woh, pendengaran hari ini mengambil masa tiga jam.

Wong juga berkata saksi-saksi lain juga akan dipanggil.

“PAC akan memanggil tiga agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri iaitu Majlis Keselamatan Negara (MKN), Unit Permodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (Mampu) serta Agensi Keselamatan Siber Negara (Nacsa) pada 21 April ini untuk memberikan keterangan dan penjelasan berhubung isu ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pendengaran PAC hari ini menumpukan lima aspek berkaitan MySejahtera:

  • Pemberian kontrak pmbangunan aplikasi MySejahtera kepada syarikat KPI Soft Sdn. Bhd. pada April 2020.

  • Pemberian kontrak secara rundingan terus kepada syarikat MySJ Sdn Bhd oleh kerajaan pada November 2021 serta status rundingan kerajaan dengan syarikat berkenaan.

  • Pemilikan aplikasi MySejahtera termasuk modul aplikasi, source code aplikasi, harta intelek dan pangkalan data.

  • Komitmen kerajaan untuk melindungi data-data peribadi rakyat dalam aplikasi MySejahtera.

  • Entiti syarikat yang terlibat dalam aplikasi MySejahtera iaitu MySJ Sdn. Bhd., KPI Soft Sdn. Bhd. dan entiti-entiti syarikat lain dalam pertikaian kes antara pemegang-pemegang saham MySJ Sdn. Bhd di mahkamah.

Pengendalian aplikasi MySejahtera kembali menjadi perhatian selepas siasatan PAC terhadap program pemerolehan kerajaan berkenaan wabak Covid-19.

Ketika siasatan, penjawat awam yang memberi keterangan mendedahkan kerajaan merancang untuk mula membayar MySJ Sdn Bhd bagi mengendalikan aplikasi itu.

Dokumen mahkamah juga membayangkan aplikasi itu akan dikomersialkan.

Setakat ini, kerajaan tidak mendedahkan rancangannya terhadap MySejahtera walaupun di saat Malaysia dalam Fasa Peralihan ke Endemik - yang juga bermakna fungsi pengesanan dalam aplikasi itu kian kurang relevan.

Pada 31 Mac lalu, Khairy memberitahu Dewan Negara bahawa Kementerian Kesihatan berhasrat menggunakannya untuk fungsi lain, seperti sistem rekod kesihatan digital.

Beberapa pihak membantahnya kerana rakyat Malaysia hanya setuju untuk mendedahkan maklumat peribadi mereka dengan menggunakan aplikasi itu khusus untuk menangani Covid-19.