Skip to main
Logo Malaysiakini

Kontak rapat tanpa gejala tak perlu lagi kuarantin, walaupun tak divaksin

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Kalangan yang tidak divaksin yang menjadi kontak rapat kes Covid-19 tetapi tidak bergejala tidak perlu lagi menjalani kuarantin, menurut Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

"Saya umumkan perkara ini sebab ada permintaan. Contohnya di sekolah asrama yang mana mereka tidak dapat dos penggalak keranausia mereka dan tidak dibenarkan dikecualikan daripada kuarantin.

"Jadi sekarang ini, kontak rapat yang tidak bergejala tak perlu mengasingkan diri, tanpa mengira status vaksinasi mereka," katanya dalam sidang media di Parlimen hari ini, yang disiarkan secara langsung.

Sebelum ini, kontak rapat tidak bergejala yang telah menerima dos penggalak dikecualikan daripada kuarantin namun perlu membuat ujian kendiri pada hari pertama dan hari ketiga selepas menjadi kontak rapat.

Kontak rapat bergejala yang telah menerima dos penggalak pula perlu menjalani kuarantin selama lima hari, selain membuat ujian kendiri.

Kontak rapat yang telah menerima vaksin penuh - tetapi tanpa dos penggalak - perlu menjalani kuarantin selama lima hari, tanpat mengira memiliki gejala atau tidak.

Peraturan sama dikenakan kepada mereka yang tidak divaksin atau belum divaksinasi penuh, kecuali mereka perlu dikuarantin selama tujuh hari.

Pada masa ini, hanya golongan berusia 18 tahun ke atas yang telah menerima dos penggalak.

[Baca berita asal]