Skip to main
Logo Malaysiakini

Kini mengidap barah, pengasas ABU nak kumpul gambar protes rakyat

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Aktivis Haris Ibrahim, 63, menyuarakan permintaan agar orang ramai menghantar gambar ketika menyertai pelbagai protes dan himpunan yang diadakan di negara ini.

Haris berkata usaha itu setelah dia disahkan mengidap barah paru-paru tahap empat.

"Beberapa di kalangan kami (anggota keluarga) ingin mencuba sesuatu: himpunan gambar perjuangan kita sepanjang 15 tahun ini untuk mengembalikan semula negara ini kepada rakyat.

"Jika anda ada gambar anda, saya dan orang-orang lain ketika protes, himpunan dan sebagainya, kongsi bersama-sama kami," katanya menerusi hantaran Facebook malam tadi.

Haris meminta mereka yang ingin menghantar gambar itu menyertakan sekali nama, acara yang dihadiri, serta apa-apa pesanan ringkas yang ingin disertakan.

Gambar tersebut perlu dihantar ke alamat emel [email protected].

Berkenaan penyakit yang dihidapinya, Haris berkata dia didiagnos mengidap barah tersebut pada 10 hari lalu.

"Berapa lama masa (yang tinggal)? Lebih dari tiga bulan, kurang setahun.

"Saya dan keluarga kini sedang berbincang dengan doktor berkenaan rawatan.

"Saya harap anda faham yang saya senang letih sekarang. Jadi untuk masa ini, saya tak jawab panggilan atau berjumpa orang. God bless," katanya lagi.

Haris merupakan peguam dan pengasas gerakan Asalkan Bukan Umno dan menulis rencana di blognya, The People's Parliament.