Skip to main
Logo Malaysiakini

'Tambah penerbangan ke Sabah untuk turunkan harga tiket'

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Ahli Parlimen Kota Kinabalu Chan Foong Hin menggesa Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong meminta syarikat penerbangan mengatur penerbangan tambahan dari Semenanjung Malaysia ke Sabah sebagai langkah menurunkan harga tiket semasa musim perayaan.

Chan berkata cadangan menambah tempat duduk sedia ada adalah bertentangan dengan strategi alternatif campur tangan kerajaan melalui mengenakan harga siling ke atas tiket penerbangan.

“Harga tiket penerbangan biasanya tinggi apabila hanya tinggal beberapa tempat duduk dalam penerbangan.

"Harga akan meningkat apabila terdapat permintaan tinggi dan apabila terdapat hanya beberapa tempat duduk dalam penerbangan," kata pengerusi biro dasar DAP itu dalam satu kenyataan hari ini.

“Satu-satunya cara untuk mengawal kenaikan harga tersebut adalah dengan meningkatkan jumlah penerbangan semasa musim perayaan.

"Oleh itu, saya ingin menyeru Wee supaya meminta syarikat penerbangan mengaturkan penerbangan tambahan bagi mengawal harga tambang penerbangan daripada melonjak di luar kawalan," kata Chan, sambil menambah bahawa mengenakan harga siling semasa musim perayaan akan menjejaskan harga purata pada hari biasa .

Chan memetik laporan Bernama bahawa harga tiket pergi balik antara Kuala Lumpur dan Kota Kinabalu didapati berada dalam lingkungan RM2,000 semasa tempoh perayaan Hari Raya Aidilfitri antara 29 April dan 8 Mei.

Dalam menyatakan kekecewaan terhadap tindakan kerajaan persekutuan, Chan menyuarakan sentimen serupa yang disuarakan oleh tiga pemimpin kerajaan Sabah - Ketua Menteri Hajiji Noor, Timbalan Ketua Menteri Sabah Bung Moktar Radin dan Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Jafry Ariffin.

"Saya mengulangi kata-kata pemimpin Sabah di atas yang menggambarkan situasi itu - kenaikan tiket penerbangan sememangnya 'beban', 'rompakan siang hari' dan sememangnya 'tidak masuk akal'.

"Persoalan penting ialah mengapa kerajaan persekutuan seolah-olah tidak melakukan apa-apa mengenainya selain mengadakan mesyuarat demi mesyuarat tanpa sebarang keputusan konkrit atau nyata untuk kepentingan rakyat Sabah?" tegasnya.

“Mengapa Wee Ka Siong, Menteri Pengangkutan, seolah-olah diam sahaja seakan-akan itu bukan urusannya?

"Walaupun pepatah 'diam adalah emas', dalam kes ini, diam Wee pasti kerana memekakkan telinga," kata Chan lagi.

Dia menambah bahawa kenaikan harga itu tidak boleh diterima kerana ramai rakyat Sabah di semenanjung tidak sabar untuk bersatu semula dengan keluarga mereka berikutan peralihan ke fasa endemik mulai 1 April, bersama-sama dengan sekatan perjalanan yang kini longgar.