Skip to main
Logo Malaysiakini

Ismail Sabri ucap terima kasih dicalon sebagai PM PRU15

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Naib Presiden Umno Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berterima kasih kepada partinya kerana mencalonkan dirinya sebagai perdana menteri pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Majlis Tertinggi (MT) Umno yang dipengerusikan Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semalam sebulat suara mencadangkan Ismail Sabri sebagai calon perdana menteri pada PRU15.

"Saya ucapkan terima kasih kepada presiden (Ahmad Zahid), timbalan presiden (Datuk Seri Mohamad Hasan), ‘Top Five’ dan semua ahli MT kerana secara sebulat suara menyokong saya sebagai calon perdana menteri selepas PRU15 jika Barisan Nasional memenangi pilihan raya nanti," kata perdana menteri kesembilan itu.

Semasa ditemui media selepas melancarkan Coopmart dan Coop Community Mart (CCM) Koperasi Pudina Putrajaya Bhd hari ini, Ismail Sabri berkata keputusan MT Umno itu jelas menunjukkan parti itu masih bersatu.

"Walaupun macam-macam pihak (kata) ada group dan sebagainya dalam Umno tetapi keputusan semalam jelas menunjukkan bahawa apa yang diperkatakan adalah tidak benar kerana Umno terus kukuh, solidaritinya kuat, jadi tidak ada kem pun dalam Umno," katanya.

Ismail Sabri bagaimanapun tidak tahu bila PRU15 akan diadakan.

- Bernama