Skip to main
Logo Malaysiakini

'Umno di puncak solidariti, top 5 parti adalah insan berjiwa besar'

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Keputusan sebulat suara majlis tertinggi Umno untuk mencalonkan Ismail Sabri Yaakob sebagai calon parti itu untuk perdana menteri seterusnya menunjukkan parti dalam "kesiapsiagaan terbaik" bagi menghadapi pilihan raya umum (PRU) ke-15, kata Ahli Majlis Tertinggi Jalaluddin Alias.

Jalaluddin berkata keputusan parti itu telah menghapuskan dakwaan bahawa Umno semakin berpecah-belah atau parti itu tidak mengambil pengajaran daripada pilihan raya umum lalu.

"Dengan menamakan Ismail Sabri selaku naib presiden Umno sebagai perdana menteri, ia membawa mesej betapa Umno kini sedang berada pada puncak solidariti dan kesiapsiagaan terbaik bagi berhadapan PRU-15.

"Keputusan ini juga membawa erti bahawa pucuk pimpinan Umno terutama 'Top 5' adalah terdiri daripada insan-insan yang berjiwa besar, asalkan ia membawa keuntungan buat rakyat di negara ini," tulis Jalaluddin di laman Facebooknya.

Pencalonan Ismail Sabri, kata ahli politik veteran itu, akan membawa kestabilan kepada negara dan dia berharap pengundi akan mempunyai keyakinan terhadap Umno dan BN untuk kembali berkuasa.

Seorang lagi Ahli Majlis Tertinggi Umno Arman Azha Abu Hanifah memberitahu Umno-Online bahawa mesyuarat Majlis Tertinggi malam tadi telah menetapkan hala tuju parti itu untuk pilihan raya umum akan datang.

Dia berkata keputusan ini perlu diterima akar umbi parti bagi menyatukan parti.

“Ini bukan masa untuk perpecahan atau cubaan merobek kapal dari dalam... Musuh kita ialah Pakatan Harapan dan Perikatan Nasional, bukan sesama kita.

"Sudah tiba masanya untuk kita bekerja sebagai satu pasukan dan mendekati pengundi terutama pengundi muda dan pengundi kali pertama. Itulah ujian sebenar untuk pilihan raya akan datang," katanya.

Malam tadi, Majlis Tertinggi Umno juga memutuskan bahawa ia akan meminda perlembagaannya untuk menangguhkan pemilihan kepimpinan dalaman, menyokong usaha meluluskan undang-undang yang menyekat ahli parlimen daripada bertukar parti dan memutuskan bahawa perjanjian keyakinan-dan-perbekalan kerajaan dengan Pakatan Harapan harus berakhir pada 31 Julai.