Skip to main
Logo Malaysiakini

Korea Selatan tamatkan peraturan penjarakan fizikal

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Korea Selatan pada Jumaat memutuskan untuk menarik balik semua peraturan penjarakan sosial minggu depan, kecuali pemakaian wajib pelitup muka, susulan wabak COVID-19 yang dikatakan telah memuncak bulan lalu.

Perdana Menteri Kim Boo-kyum memberitahu mesyuarat menangani pandemik bahawa perintah penutupan perniagaan pada tengah malam dan had 10 orang untuk perhimpunan persendirian akan ditamatkan mulai Isnin depan, lapor Xinhua.

Had 299 orang untuk acara dan perhimpunan serta had kapasiti 70 peratus untuk aktiviti keagamaan akan ditarik balik mulai 18 April, manakala makan di dalam panggung wayang, kemudahan sukan tertutup dan kemudahan keagamaan akan dibenarkan mulai 25 April.

Kim berkata pemakaian pelitup muka di dalam bangunan masih perlu, namun menyebut bahawa keputusan akan dibuat sama ada untuk menarik balik arahan pemakaiannya di kawasan terbuka dalam dua minggu lagi.

Terkini, negara itu melaporkan 125,846 kes COVID-19 baharu dalam tempoh 24 jam yang lalu. Angka kes harian turun daripada 148,443 pada hari sebelumnya dan jauh lebih rendah berbanding 205,312 pada minggu lalu.

- Bernama