Skip to main
Logo Malaysiakini

MMA: Buat ujian jika jadi kontak rapat bergejala

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Persatuan Perubatan Malaysia mengingatkan orang ramai mengambil sikap bertanggungjawab apabila didapati bergejala atau positif Covid-19, dalam fasa peralihan ke endemik.

Presidennya, Koh Kar Chai, berkata, walaupun terdapat perubahan kepada prosedur operasi standard (SOP) untuk kontak rapat tanpa gejala baru-baru ini, orang ramai masih perlu mengambil sikap bertanggungjawab.

“Walaupun tiada lagi keperluan untuk kontak rapat tanpa gejala menjalani kuarantin, kami berharap kontak rapat yang bergejala tidak akan mengetepikan ujian.

“MMA mengingatkan kontak rapat untuk melakukan perkara yang bertanggungjawab dan menjalani ujian jika ada simptom Covid-19.

“Sekiranya anda didapati positif, laporkan diri anda di aplikasi MySejahtera supaya keadaan anda boleh dinilai dan diuruskan,” kata Koh.

Semalam, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin mengumumkan bahawa kontak rapat Covid-19 yang tidak menunjukkan simptom tidak perlu lagi menjalani kuarantin kendiri, meskipun mereka belum menerima vaksin Covid-19.

Koh berkata kejayaan peralihan Malaysia kepada fasa endemik bergantung pada sejauh mana Covid-19 dapat diurus.

“Kita mungkin beralih kepada endemik tetapi kejayaan kita akan bergantung pada sejauh mana kita menguruskan Covid-19 supaya adalah penting untuk tetap melaksanakan langkah-langkah ini.

"Sebaliknya, jika anda mempunyai simptom dan telah diuji negatif, adalah dinasihatkan untuk mendapatkan rawatan perubatan untuk mengelakkan kemungkinan penyakit lain," katanya.

Sebelum ini, kontak rapat tanpa gejala yang telah menerima suntikan dos penggalak Covid-19 dikecualikan daripada menjalani kuarantin tetapi mesti menjalankan ujian kendiri pada hari pertama dan hari ketiga selepas dimaklumkan bahawa mereka terdedah kepada jangkitan.

Kontak rapat yang menerima suntikan dos penggalak dan menunjukkan simptom Covid-19 perlu menjalani kuarantin selama lima hari dan menjalani ujian kendiri.

Individu yang telah lengkap menerima vaksin perlu menjalani kuarantin selama lima hari tanpa mengira simptom atau sebaliknya dan menjalani ujian kendiri jika menunjukkan gejala.

Peraturan itu terpakai bagi individu yang tidak menerima vaksin atau tidak melengkapkan vaksinasi, namun perlu menjalani kuarantin selama tujuh hari.