Skip to main
Logo Malaysiakini

Hentikan 'broker' politik, hubungi terus lebih telus - Fathul Bari

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Dr Fathul Bari berharap agar pemimpin parti itu menghilangkan ‘kesangsian’ sesama sendiri, selain menghentikan amalan 'politik broker'.

Dia berkata demikian mengulas keputusan MT Umno yang mencadangkan agar Ismail Sabri Yaakob menjadi calon perdana menteri BN pada PRU15.

Perkara itu diputuskan dalam mesyuarat MT Umno yang dipengerusikan Presiden, Ahmad Zahid Hamidi semalam.

“Apa yang paling penting, "move forward” atau maju ke hadapan dan tiada lagi kesangsian antara kita.

"Tiada lagi janji yang dimungkiri. Tiada dendam juga geram. Tiada khianat juga niat jahat. Tiada dusta juga kata-kata nista.

"Tiada kekhilafan melainkan diakhiri di meja perbincangan. Tiada prasangka juga adu domba.

“Hentikan broker politik, sebaliknya gunakan akses langsung yang berautoriti. Masing-masing ada nombor telefon, hubungi terus supaya lebih telus," katanya dalam tulisan di Facebook, hari ini.

Ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sebelum ini, Zahid membayangkan BN belum memutuskan siapa yang akan menjadi 'poster boy' gabungan itu untuk PRU15.

Sebelum ini wujud dakwaan terdapat persaingan dalam parti itu antara pihak yang menyokong Ismail Sabri dengan pihak yang menyokong Zahid dan bekas perdana menteri Najib Razak.

Ismail merupakan perdana menteri dan salah seorang daripada tiga naib presiden Umno.

Dalam pada itu Fathul turut menyambut baik penubuhan jawatankuasa perhubungan Parti-Kerajaan.

"Harapan saya teras jawatankuasa ini adalah 'Harmonisasi'.

"Sebarang isu atau permasalahan mahupun kekhilafan, semuanya perlu dibincangkan agar keputusan yang bijaksana terhasil.

"Inilah semangat syura yang dinanti-nantikan oleh ahli-ahli parti bahkan rakyat umumnya," katanya.