Ahmad jawab Hadi: 'PN sebenar' hanya ada 25 kerusi Parlimen, bukan 70
Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan membidas Presiden PAS Abdul Hadi Awang berhubung kenyataannya bahawa kerajaan persekutuan pada masa ini “didominasi 70 kerusi” Perikatan Nasional (PN).
Ahmad berpandangan angka sebenar sepatutnya hanya 25 kerusi PN, jika tidak mengambil kira ahli parlimen dari Umno dan PKR yang melompat ke Bersatu.
“...Didominasi 70 kerusi PN dan gabungannya kah?
“Cuba kira: Bersatu 31 kerusi, PAS 18 kerusi dan STAR satu kerusi, baru 50 kerusi. 31 kerusi Bersatu termasuk 15 kerusi (bekas) Umno/BN dan 10 daripada PKR.
“PN sebenar ialah enam (ahli parlimen) Bersatu yang bukan melompat, 18 dari PAS dan seorang dari Star. Baru 25, bukan 70 kan?” soalnya di Twitter hari ini.
Lanjutan MOU dan pembubaran Parlimen
Semalam, Hadi dilaporkan berkata PAS akan mengadakan perbincangan sama ada setuju untuk melanjutkan memorandum persefahaman (MOU) yang dimeterai Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dan PH, yang akan tamat pada 31 Julai ini.
Berita Harian memetik Hadi sebagai berkata, walaupun Ismail Sabri telah akur dengan keputusan Majlis Tertinggi (MT) Umno agar ia tidak dilanjutkan, PAS tetap akan membincangkannya memandangkan kerajaan “didominasi” parti PN.
Menurut Fasal 2.1 MOU itu, persefahaman itu kekal sehingga pembubaran Parlimen. Fasal 3.1 pula menyatakan Ismail Sabri tidak akan membubarkan Parlimen sebelum 31 Julai 2022.
Sementara itu, Bernama melaporkan ahli MT Umno Bung Moktar Radin berkata PRU15 wajar diadakan selepas tamatnya MOU itu pada 31 Julai ini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai