Muktamad - Debat Anwar dan Najib 12 Mei ini
Tarikh untuk debat antara Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim dan bekas perdana menteri Najib Razak akhirnya diputuskan, iaitu pada 12 Mei ini.
Perkara itu diumumkan oleh Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil dan Ketua Penerangan BN Selangor Isham Jalil dalam sidang media bersama di Kuala Lumpur, hari ini.
Menurut mereka, debat tersebut akan berlangsung pada jam sembilan malam di Dewan Tunku Canselor Universiti Malaya (UM).
Ia akan merangkumi tiga segmen, iaitu isu Sapura Energy, hala tuju negara dan sesi soal dan jawab, kata mereka.
"Kami percaya ramai yang menanti debat perdana ini. Kami juga percaya acara ini akan memberi peluang kepada rakyat untuk menilai dan meraikan idea, hujah serta pandangan yang berbeza dalam suasana aman yang mencerminkan budaya berpolitik yang lebih matang," kata mereka.
Selain itu debat perdana itu juga akan dapat disaksikan secara langsung, sama ada secara fizikal dan melalui saluran media yang akan diumumkan kemudian.
"Maklumat terperinci berhubung kehadiran fizikal akan diumum kemudian," tambah mereka lagi.
Sebelum ini isu gesaan Najib agar kerajaan menyelamatkan Sapura Energy asalnya melibatkan ahli parlimen Pekan itu dengan bekas ahli parlimen Pandan, Rafizi Ramli.
Antara isu yang dipertikaikan mereka ialah kewajaran ketua pegawai eksekutifnya yang diberikan gaji yang begitu lumayan.
Menurut Rafizi pada Mac lalu, Najib - sebagai perdana menteri ketika itu - gagal menjaga kepentingan institusi awam melalui Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Kumpulan Wang Amanah Persaraan (KWAP) yang menjadi pemegang saham dalam syarikat tersebut.
Meneliti rekod kewangan Sapura Energy, Rafizi berkata, seorang pengarah eksekutif yang mewakili pemegang saham majoriti meraih hampir RM1.1 bilion dari 2009 hingga 2021 dalam bentuk gaji, bonus, sewa, yuran harta intelek dan bentuk imbuhan lain.
Pertikaian itu kemudian membawa kepada cabaran Rafizi kepada Najib agar mereka berdebat mengenai langkah berkenaan.
Ia kemudian dipersetujui oleh Najib namun bekas perdana menteri itu turut mengajak agar Anwar dilibatkan sama.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai