Skip to main
Logo Malaysiakini

Projek perintis lombong NR-REE di Hulu Perak perlu kelulusan EIA

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Projek perintis perlombongan Unsur Nadir Bumi Bukan Radioaktif (NR-REE) di Mukim Kenering, Hulu Perak perlu mendapat kelulusan Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) terlebih dahulu sebelum dilaksanakan.

Menteri Alam Sekitar dan Air Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata pelaksanaan projek itu perlu mendapat kelulusan laporan EIA bagi memastikan impak minimum kepada alam sekitar.

"Pematuhan syarat kelulusan laporan EIA penting bagi melancarkan aktiviti perlombongan di sepanjang projek itu agar tidak memberi kesan negatif," katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Projek Pengurusan Sisa Lestari Lalat Askar Hitam (BSF) di Tapak Pasar Borong Tanah Merah di sini hari ini.

Tuan Ibrahim berkata usaha dilakukan itu telah mengikut segala prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

"Projek perintis ini juga diharap tidak mengganggu sumber air dengan pemaju perlu merancang dan menyediakan kaedah langkah kawalan lebih awal untuk mengawal punca pencemaran seperti hakisan dari pembukaan kawasan atau air sisa atau efluen dari proses perlombongan yang boleh menyebabkan pencemaran air," katanya.

Jumaat lepas, Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) dilapor menjalin kerjasama dengan Kerajaan Negeri Perak bagi membangunkan projek perintis perlombongan NR-REE di Mukim Kenering dalam daerah Hulu Perak.

Menterinya Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata cadangan perlombongan di tapak projek perintis itu merupakan inisiatif kerajaan dalam memastikan aktiviti perlombongan NR-REE dijalankan secara lestari, cekap dan teratur melalui SOP yang dibangunkan sebelum diperluas ke negeri lain.

- Bernama