Kes Bella: Aktivis kecam Rina sebab baru nak bertindak
Beberapa aktivis mengecam Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyaraka, Rina Harun kerana lewat bertindak dalam kes penderaan membabitkan remaja sindrom down yang lebih dikenali sebagai Bella.
Semalam, Rina berkata dia bersedia menghadap Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan isterinya Che Puan Besar Khaleeda Bustamam bagi mempersembahkan status perbicaraan kes penderaan remaja OKU berumur 13 tahun itu.
“Kesian kamu ni! Kami tanya kepada kementerian kamu dan JKM (Jabatan Kebajikan Masyarakat) tentang hal ini pada Julai 2021. Kamu semua kata tak boleh buat apa-apa sebab kena tunggu siasatan polis. Kemudian diam sampai sekarang,” kata aktivis kanak-kanak, Dr Hartini Zainudin.
Ramai pihak termasuk ahli parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil menyifatkan Rina hanya bertindak selepas menerima tekanan.
Ini selepas Tunku Ismail menawarkan khidmat peguam pemerhati secara percuma dalam kes penderaan Bella di mahkamah, bagi pihak kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.
"Bayangkan menjadi seorang menteri yang bertanggungjawab ke atas seluruh kementerian dengan kuasa untuk mengubah undang-undang dan dasar. Perkara yang terbaik yang boleh kamu lakukan ialah menawarkan solidariti dan itupun hanya selepas Istana masuk campur tentang apa yang sedang berlaku," kata pengguna Twitter @tifzlan_
Dalam kenyataannya semalam, Rina berkata tawaran Tunku Ismail amat bermakna bagi kementeriannya dalam menegakkan keadilan buat Bella dan akan bekerjasama rapat dengan pihak peguam yang dititahkan oleh Tunku Ismail.
Kenyataan itu disiarkan Rina di media sosial beserta gambarnya bersama Bella.
Sebuah klip video Tik Tok yang dipercayai daripada portal Sinar Harian yang menunjukkan rakaman Rina sedang melawat Bella, juga tular di media sosial.
Hal itu mencetuskan kemarahan netizen, termasuk Hartini, yang menyifatkan Rina sebagai mencari peluang untuk bergambar.
“Ini bukan tentang mendokumentasikan bukti bahawa kamu mengambil berat atau kamu mengambil tindakan untuk 'buat kerja'. Tidak sensitif dan tidak tahu tentang perlindungan kanak-kanak," katanya di Twitter.
"Bella tu belum lagi bersedia nak jumpa orang luar, pastu you datang bawa reporters, videographers, photographers bagai.. takut la budak tu..Aduuuhh.. masa potong usus, terbuang akal sekali ke..?,” ciap pengguna Twitter @wahidahu55ain.
Pesuruhjaya Kanak-Kanak Suhakam, Noor Aziah Mohd Awal sebelum ini berkata adalah menjadi kesalahan jenayah untuk berkongsi gambar dan video yang mendedahkan identiti kanak-kanak mangsa jenayah.
Dia berkata perbuatan berkongsi gambar atau video secara terbuka yang menunjukkan identiti mangsa kanak-kanak melanggar Seksyen 15 Akta Kanak-Kanak yang boleh dihukum penjara sehingga lima tahun, denda RM10,000, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Kes Bella tular di media sosial tahun lepas selepas seorang wanita mendakwa remaja perempuan itu disimbah dengan air panas dan diikat ketika berada di bawah jagaan Rumah Bonda, sebuah rumah kebajikan pertubuhan bukan kerajaan.
Susulan itu, pengasas Rumah Bonda Siti Bainun Ahd Razali, 30, didakwa atas dua pertuduhan mengabaikan serta mendera remaja berusia 13 tahun itu sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal dan emosi di sebuah kondominium di Wangsa Maju, Kuala Lumpur antara Februari dan Jun 2021.
Siti Bainun didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Dia bagaimanapun tidak mengaku bersalah atas kedua-dua pertuduhan.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai