Skip to main
Logo Malaysiakini

Mat Sabu: 'Khemah besar' tak merangkumi Umno, Bersatu dan PAS

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Amanah menghormati perbezaan pandangan mengenai pendekatan 'khemah besar' dalam parti-parti pembangang bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), kata presidennya Mohamad Sabu.

Bagaimanapun Mohamad menegaskan pendekatan itu tidak akan merangkumi parti-parti dalam kerajaan iaitu Umno, Bersatu dan PAS.

"Amanah ingin mengulangi penegasan bahawa 'khemah besar' yang dimaksudkan adalah penyatuan dan kerjasama parti-parti pembangkang bagi menghadapi PRU15,"

"Pendekatan 'khemah besar' tidak merangkumi penyatuan atau kerjasama dengan parti-parti yang berada dalam kerajaan sama ada Umno, Bersatu atau PAS," katanya dalam kenyataan hari ini.

Minggu lepas Mohamad menegaskan Amanah boleh berjumpa dengan sesiapa sahaja bagi membincangkan kerjasama dalam PRU15 termasuk parti Bersatu.

Bagaimanapun kata Mohamad, Bersatu ketika ini dilihat masih lagi bersama kerajaan berbanding Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) yang dilihat ‘senada’ dengan PH di dalam Parlimen.

Pada 1 April lalu, Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim memaklumkan tiada sebarang usaha dilakukan oleh pimpinan tertinggi daripada Bersatu dan PAS untuk menjalinkan kerjasama dengan PH.

“Tidak ada berbangkit isu itu. Ada bincang, tapi tidak berbangkit (usaha kerjasama daripada Bersatu dan PAS),” katanya.

Anwar dilapor berkata demikian menjawab soalan wartawan berkaitan kewujudan sebarang usaha daripada Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin dan Presiden PAS, Abdul Hadi Awang untuk menjalinkan kerjasama bersama PH.

Mengulas lanjut, Mohamad menegaskan tidak mungkin PH akan bekerjasama dengan pengkhianat yang telah mengkhianati amanah dan mandat rakyat.

"Perlu ditegaskan bahawa golongan pengkhianat adalah mereka yang telah melompat untuk bersama Bersama dan PN atas sebab tawaran-tawaran yang dibuat pada ketika itu.

"Tidak wajar kita menyamakan kumpulan yang telah melompat dengan kumpulan yang tidak melompat.

"Seperti mana tidak wajar kita anggap PKR sebagai parti pengkhianat atas sebab timbalan presidennya dan belasan ahli partimennya melompat, begitu juga adalah

tidak wajar kita namakan Pejuang, Warisan dan Muda sebagai pengkhianat atas sebab pengkhianatan Muhyiddin (Yassin) dan Bersatu," katanya.

Tambah anggota Parlimen Kota Raja itu, sebagai parti politik yang ingin menunaikan tanggungjawabnya terhadap rakyat dengan mengusahakan kemenangan dalam PRU15, persoalan menyatukan pembangkang adalah amat perlu.

Ke arah itu katanya, Amanah akan berusaha memperbanyakkan kawan demi menghadapi lawan yang sama iaitu BN dan juga PN.

"Bagi yang membuat keputusan bahawa PRU15 tidak akan dimenangi, usaha sebegini sememangnya tidak perlu.

"Usaha untuk kalah adalah jauh lebih mudah daripada berjuang untuk menang," kata Mohamad lagi.