Skip to main
Logo Malaysiakini

Kes basikal lajak: Siapa hakim-hakimnya?

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Selepas mempengerusikan kes rasuah SRC International RM42 juta bekas perdana menteri Najib Razak, Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali kini salah seorang panel hakim Mahkamah Rayuan yang membenarkan permohonan Sam Ke Ting menangguhkan hukuman penjara sementara menunggu rayuannya.

Selain Hakim P Ravinthran, yang mengetuai panel tiga hakim itu dan rakannya, Lee Heng Cheong, Nazlan membuat keputusan sebulat suara hari ini untuk memberikan kebenaran kepada kerani itu untuk meneruskan rayuannya terhadap hukuman penjara enam tahun dan denda RM6,000.

Sam, 27, merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Johor Bahru pada Rabu minggu lalu untuk membatalkan hukuman atas kesalahan memandu secara melulu yang melibatkan kematian lapan remaja penunggang basikal pada 2017.

Hakim Mahkamah Tinggi Abu Bakar Katar juga tidak membenarkan permohonan peguamnya untuk menangguhkan hukuman penjara dan denda sementara menunggu rayuannya.

Memandangkan kes memandu secara melulu pada mulanya bermula di Mahkamah Majistret dan bukannya di Mahkamah Sesyen, dia perlu mendapatkan kebenaran daripada Mahkamah Rayuan sebelum meneruskan permohonan rayuannya.

Sebelum ini, Nazlan pernah menjadi hakim Mahkamah Tinggi komersial, ditugaskan untuk mendengar kes SRC terhadap Najib dengan perbicaraan bermula April 2019.

Merit rayuan Sam

Pada Julai 2020, Nazlan ketika itu hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah mensabitkan bekas perdana menteri atas satu pertuduhan salah guna kuasa, tiga pertuduhan jenayah pecah amanah jenayah (CBT) dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM42 juta dana daripada SRC.

Nazlan juga telah menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta kepada tertuduh.

Bagaimanapun, dia membenarkan permohonan Najib untuk menangguhkan hukuman itu sementara menunggu rayuan. Bekas perdana menteri itu diwakili peguam Muhammad Shafee Abdullah.

Pada 5 Feb tahun ini, hakim berusia 54 tahun itu dinaikkan pangkat ke Mahkamah Rayuan.

Bagaimanapun, selaras dengan amalan kehakiman, panel hakim Mahkamah Rayuan yang akan mendengar merit rayuan Sam mungkin berbeza sebahagian atau sepenuhnya daripada panel bersidang hari ini yang memberikan kebenaran pesalah untuk merayu.

Tidak diketahui lagi sama ada Nazlan, Ravinthran atau Lee akan terlibat menjadi sebahagian panel hakim untuk mendengar rayuan Sam kemudian.

Sementara itu, Majlis Peguam bersedia membantu Mahkamah Rayuan dalam perbicaraan akan datang mengenai merit rayuan Sam.

Ini selepas panel tiga hakim Mahkamah Rayuan hari ini membenarkan permohonan peguam Badan Peguam Malaysia, Ravinder Singh Dhalliwal, untuk menjadi amicus curiae (sahabat mahkamah) dalam kes itu.

Di bawah undang-undang, amicus curiae ialah individu atau organisasi yang bukan pihak dalam kes mahkamah, tetapi dibenarkan untuk membantu mahkamah dengan menawarkan maklumat, kepakaran atau pandangan berkaitan isu dalam kes itu.

Keputusan sama ada untuk mempertimbangkan pendapat amicus terletak dalam budi bicara mahkamah.

Panel hari ini juga menolak permohonan peguam Muhammad Shafee Abdullah dan Ng Kian Nam, yang masing-masing mewakili Persatuan Alumni Fakulti Undang-undang Universiti Malaya (Parfum) dan MCA, agar kumpulan itu menjadi amicus curiae dalam kes itu.

Dua hari lalu, Shafee menawarkan diri untuk mewakili Sam dalam proses rayuan.

[Baca berita asal]