Skip to main
Logo Malaysiakini

Lombong dalam habitat harimau di K'tan boleh sebabkan banjir - EIA

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Cadangan lombong emas lubang terbuka di Hutan Simpan Kekal Sokor Taku di Tanah Merah, Kelantan boleh menimbulkan risiko kepada manusia dan hidupan liar yang terancam, menurut laporan penilaian kesan alam sekitar (EIA) mengenai projek itu.

Ini kerana projek itu boleh mengakibatkan pemendapan tanah dan "bencana" banjir sekaligus menceroboh habitat haiwan seperti harimau Malaya yang hampir pupus.

Selain harimau Malaya, perangkap kamera di tapak projek seluas 547.4 hektar juga merakam imej haiwan terancam, gajah Asia dan beruang matahari Malaya.

Perangkap kamera di tapak itu, yang berkeluasan setara 767 padang bola, telah merakam imej haiwan mangsa harimau termasuk kijang dan babi hutan.

Pakar pemuliharaan sebelum ini telah memberi amaran bahawa harimau Malaya boleh pupus dalam beberapa dekad, dengan hanya kira-kira 150 ekor yang dalam habitat liar, turun daripada 1,000 pada 2009.

Dalam mesyuarat antara perunding alam sekitar projek itu, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (Perhilitan) juga berkata Hutan Simpan Sokor Taku merupakan habitat kepada tiga kumpulan gajah.

Ini walaupun sebahagian daripada rizab hutan itu telah dibalak, kata seorang pegawai mengikut minit mesyuarat yang diterbitkan bersama EIA berkenaan.

Pada 2021 sahaja, Perhilitan telah menangkap tujuh ekor gajah daripada kumpulan Sokor Taku, selepas dipercayai berkonflik dengan manusia, demikian catat minit mesyuarat itu.

Dianggarkan terdapat 3,000 ekor gajah Asia yang hidup di habutat liar di Malaysia.

Dalam mesyuarat itu, Perhilitan telah menasihatkan supaya lombong itu dibina secara berperingkat bagi membolehkan haiwan yang tinggal di situ berhijrah secara semula jadi dan mengelakkan konflik manusia-haiwan.

Walaupun tapak projek itu sangat besar, aktiviti penggalian lombong hanya akan dilakukan di kawasan seluas 21.75 hektar, atau 30 padang bola, dengan selebihnya diperuntukkan untuk pembangunan masa depan.

Terletak di dalam Kompleks Hutan Taman Negara, tapak perlombongan yang dicadangkan itu hanya 4.32km dari rangkaian hutan teras Semenanjung Malaysia, Central Forest Spine (CFS).

CFS merupakan gugusan kompleks hutan yang diklasifikasi dalam Rancangan Fizikal Negara (RFN) sebagai kawasan sensitif alam sekitar di Semenanjung Malaysia yang mempunyai nilai ekosistem dan jumlah hidupan liar yang tinggi.

Kawasan CFS ini merentasi lapan buah negeri iaitu Kedah, Perak, Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor, Negeri Sembilan dan Selangor.

Ia terdiri dari empat kompleks hutan utama dari Johor ke sempadan Thailand, iaitu Banjaran Titiwangsa-Banjaran Bintang-Nakawan, Taman Negara-Banjaran Timur, Pahang Tenggara, Chini dan Tasik Bera, dan Taman Endau Rompin- Rizab Hidupan Liar Kuang.

Tak perlu pengezonan semula

Sementara itu, lombong berkenaan dianggarkan mempunyai rizab emas kira-kira 121.78kg, dengan jumlah pengeluaran kira-kira 347,852 meter padu.

Pajakan perlombongan itu dipegang oleh agensi negeri Yayasan Kraftangan Kelantan, manakala pengendali yang disenaraikan ialah Jayamas Mining Sdn Bhd, sebuah syarikat perlombongan dan perladangan yang berpangkalan di Kota Bharu.

Firma itu dimiliki oleh orang kenamaan Kelantan Syed Abdullah Syed Ali Alsagoff dan Wan Muhammad Imran Mohamad Kahiri, dengan modal berbayar RM5 juta.

Wan Muhammad Imran, 28, memiliki 90 peratus kepentingan syarikat dan berpangkalan di Kajang, Selangor.

Mendapan, sungai cetek

Mengikut Rancangan Tempatan Jajahan Tanah Merah 2020, tapak itu terletak di kawasan hutan simpan yang diklasifikasikan sebagai Kelas J, di mana perlombongan dibenarkan dengan kebenaran kerajaan negeri.

Seterusnya, pada Disember 2020, exco kerajaan negeri Kelantan memutuskan semua hutan simpan kekal dinyahklasifikasikan sebagai kawasan sensitif alam sekitar, kecuali kawasan sumber air atau kawasan tadahan air.

Oleh itu, tidak ada keperluan untuk pengezonan semula untuk membolehkan perlombongan di tapak cadangan tersebut.

EIA, yang dipamerkan hari ini menyatakan projek itu boleh membawa kepada "bencana banjir" kerana tanah terdedah tanpa litupan hutan akan membawa larian air yang dipenuhi mendapan lumpur tanah dalam hujan lebat, menjadikan sungai semakin cetek.

Ini terutamanya kerana projek itu bermakna kehilangan hutan sekunder yang kini bertindak sebagai kawasan rizab banjir, kata EIA.

"Sungai cetek akibat pemendapan juga boleh menjadi lebih teruk kerana keupayaan hidraulik sungai berkurangan dan gagal menyalurkan isipadu air yang tinggi semasa hujan lebat, mencetuskan (a) kejadian limpahan lebihan air sungai dan bencana banjir," kata laporan itu.

Pemendapan itu juga akan merosakkan dengan teruk ekosistem sungai, melenyapkan spesis ikan tempatan dan menyebabkan bertambah populasi spesis yang dibawa masuk seperti ikan keli, katanya.

Ini hanya boleh dielakkan jika terdapat dasar pelepasan sifar semasa perlombongan dan langkah lain seperti perangkap endapan yang dipasang semasa pembinaan.

Walaupun begitu, laporan itu berkata memandangkan jumlah pepejal terampai sedia ada di dalam sungai, maka sedikit sahaja gangguan dalam langkah tebatan yang diambil akan menyebabkan kerosakan kepada sungai.

Kawasan tadahan air Sungai Sokor akan terjejas secara langsung, dengan beberapa anak sungainya terletak di tapak projek itu.

Anak-anak sungai mengalir ke saluran utama Sungai Sokor dan mengalir ke Sungai Kelantan.

Projek itu "mungkin juga memberi kesan" kepada loji rawatan air Kuala Tiga, yang terletak 15.2km ke hilir dari lombong itu, maklum laporan EIA itu.

Walaupun mengakui kesan tidak dapat dipulihkan terhadap alam sekitar, laporan EIA mengesyorkan projek itu diluluskan, dengan garis panduan pengurusan alam sekitar yang ketat sebagai mitigasi.

Ia juga menonjolkan faedah ekonomi yang boleh dibawa projek itu kepada masyarakat tempatan, yang kebanyakannya berpendapatan rendah.

Tambahan pula, katanya, lombong yang dicadangkan itu bukanlah yang pertama di kawasan Sokor.

Kumpulan CNMC, yang memiliki lombong emas terbesar di Sokor, telah menghasilkan lebih daripada tiga tan metrik emas.

Laporan EIA itu dipamerkan kepada umum sehingga 17 Mei, manakala maklum balas awam boleh diberikan melalui borang dalam talian selewat-lewatnya pada 1 Jun.

[Baca laporan asal]