Skip to main
Logo Malaysiakini

Anwar tak terlibat bincang 'khemah besar' tapi tak sekat PH runding

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Pakatan Harapan akan mengutamakan membina kekuatan sendiri dalam menghadapi pilihan raya umum ke-15 berbanding usaha membentuk pakatan dengan pihak lain di bawah pendekatan yang dipanggil 'khemah besar', kata Anwar Ibrahim.

Pun begitu, pengerusi PH itu menjelaskan blok pembangkang tidak akan menutup pintu kepada parti politik lain yang mahu berunding.

"Kalau kita tengok kenyataan PKR, tidak timbul pun. Bagi, saya tidak relevan. Setiausaha Agung DAP Anthony Loke baru-baru ini dalam kenyataannya tegas bahawa harus perkukuh semangat dan kekuatan induk PH.

"Tegasan saya semua, kalau tengok kenyataan saya, kita jangan terlalu angkuh sampai orang lain nak bincang tak boleh.

"Tapi, asas induk kekuatan masih PH," katanya dalam wawancara khas dengan Malaysiakini, The Vibes dan Sinar Harian, hari ini.

Baru-baru ini, beberapa pemimpin PH, khususnya daripada Amanah, menggesa pendekatan 'khemah besar' dalam menyatukan semua parti pembangkang untuk menentang BN dan Perikatan Nasional.

Ini termasuk Presiden Amanah Mohamad Sabu, yang menyatakan terdapat keperluan untuk menyatukan pembangkang ke arah memenangi PRU15.

Anwar menegaskan walaupun dia sendiri tidak meneroka pendekatan itu, namun dia tidak melihat usaha sedemikian sebagai masalah kepada gabungan PH.

"Saya sendiri tidak berbincang, itu penting kena ingat presiden PKR tidak meneruskan perbincangan kerana keutamaan kita kekuatan induk PH.

"Tapi, saya tak mengambil sikap menolak kebijakan untuk berbincang dengan sesiapa saja asalkan dia tunduk kepada agenda kita," katanya.

Tambahnya, pengalaman lalu ketika Dr Mahathir Mohamad memimpin pentadbiran selepas PRU14 sangat mengguris bagi PH kerana menyimpang daripada pendekatan gabungan itu selama ini.

"Kalau maksudnya menggadai prinsip kita, tunduk pada kepimpinan mereka, itu tentunya tak mungkin.

"Tapi, kalau sekadar bincang, bina kekuatan, supaya tak lihat terlalu tajam permusuhan antara parti pembangkang, itu saya memungkinkan. Saya tak anggap itu sebagai khemah besar.

Calon PM

Sementara itu, ketika ditanya jika dia masih akan menjadi 'poster boy' bagi PH, atau calon perdana menteri untuk PRU15, Anwar berkata tiada perubahan mengenai perkara itu.

Bagaimanapun, ketua pembangkang itu menegaskan ia bukan perkara penting bagi mereka.

Sebaliknya, mereka akan memberi tumpuan kepada membawa perubahan dan meyakinkan rakyat untuk mengundi menentang Umno dan BN.

"Keutamaannya ialah menyantuni rakyat dan meyakinkan rakyat.

"Daripada apa yang sudah mereka lihat Umno dengan BN ini, ada negara harus tukar arah politik yang bergelumang dengan rasuah, salah guna kuasa, keangkuhan, perkauman yang sempit.

"Ini harus diganti dengan politik baru," katanya.

Menyentuh pilihan raya akan datang, Anwar turut ditanya sekiranya PH akan mempunyai manifesto lain untuk menawan pengundi.

Ini terutamanya kerana manifesto sebelum ini untuk pilihan raya umum 2018 telah menjadi bahan ejekan selepas perdana menteri PH ketika itu Dr Mahathir Mohamad mengatakan ia hanya garis panduan sahaja.

Sehubungan itu, Anwar berkata dia sentiasa berpegang kepada idea bahawa manifesto harus pendek dan ringkas, serta mengandungi janji-janji yang pasti akan dapat dilaksanakan.

Bagaimanapun, menurut presiden PKR itu lagi, jawatankuasa yang bertanggungjawab menggubal manifesto pilihan raya umum sebelum ini mempunyai idea berbeza.

"Pendapat saya akan saya sampaikan, kita harus sederhanakan janji manifesto ini.

"Permudahkan dan pendekkan. Tapi, saya ini orang jemaah, itu pendapat saya yang harus diteliti rakan-rakan," katanya.