Skip to main
Logo Malaysiakini

Pemimpin PKR perlu berani teroka kerusi luar bandar - MP Alor Setar

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

PEMILIHAN PKR | Ahli Parlimen Alor Setar Chan Ming Kai berkata bahawa pemimpin tertinggi PKR perlu berani menerokai kerusi luar bandar.

Menurutnya, kerusi yang mempunyai pengundi majoriti Melayu bukan alasan untuk ditandingi oleh calon Melayu sahaja.

“Pimpinan PKR khususnya yang mempunyai populariti yang tinggi harus berani menerokai kerusi luar bandar yang masih belum menang dan bukan kekal di kerusi selamat di bandar yang mempunyai ramai pengundi bukan Melayu.

“Pada masa yang sama, kerusi yang mempunyai majoriti Melayu bukan alasan untuk disimpan atau ditempah oleh calon Melayu memandangkan PRU telah membuktikan rakyat tidak menilai calon berdasarkan kaum,” katanya pada kenyataan hari ini.

Kata Chan, PKR seharusnya lebih progresif dari segi naratif kepelbagaian kaum dan melakukan eksperiman serta meneroka pengkisahan ini dengan lebih meluas.

Sementara itu, Chan yang menawarkan diri bertanding jawatan naib presiden pada pemilihan parti berkata dia tidak setuju dengan konsep 'khemah besar'.

“Dalam suhu suasana politik terkini, sudah tentunya tiada mana-mana parti politik yang mampu mendominasi pembentukan kerajaan yang kukuh dalam arena politik. Maka kerjasama politik merupakan seni yang penuh dengan cabaran.

“Saya tidak bersetuju dengan konsep khemah besar sekiranya definisinya adalah mendapat kuasa melalui percaturan bilangan wakil rakyat khususnya yang bersangkutan dengan parti perkauman dan mengkhianati mandat rakyat.

“Namun demikian, dibawah konteks Pakatan Harapan, kerjasama harus sentiasa dibuka kepada parti lain selagi ia tidak bercanggah dengan prinsip Pakatan Harapan serta bukan semata-mata ingin merampas sokongan lapisan pertengahan (middle class) yang merupakan sokongan tegar sedia ada kepada Pakatan Harapan,” katanya