Skip to main
Logo Malaysiakini

Usaha raih dana untuk rawatan barah Haris Ibrahim

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Rakan-rakan kepada aktivis Haris Ibrahim, yang disahkan mengidap barah paru-paru, sedang mengumpul dana untuknya serta meminta orang ramai untuk turut menyumbang bagi menampung kos rawatannya.

Salah seorangnya, Wilson Yew berkata sebarang sumbangan pasti akan memberi kelegaan kepada Haris.

“Bagi seorang yang tekad menjadikan Malaysia sebuah negara yang lebih baik untuk semua rakyatnya, pengorbanannya adalah begitu besar.

“Dia secara mesra diingati sebagai ‘Abang ABU (Asalkan bukan Umno)’.

“Harapnya ketika dia memerlukan, kita dapat memberi sedikit sumbangan untuk membantunya,” kata Yew kepada Malaysiakini.

Sesiapa yang ingin menyumbang boleh berbuat demikian di akaun bernama Haris Fathillah di CIMB (8001365724).

Awal bulan ini, Haris disahkan mengidap barah paru-paru tahap 4 dan menurutnya mempunyai masa “Lebih dari tiga bulan, kurang setahun”.

Haris merupakan peguam dan pengasas gerakan Asalkan Bukan Umno dan menulis rencana di blognya, The People's Parliament.

Dia juga meminta orang ramai menghantar gambar ketika menyertai pelbagai protes dan himpunan yang diadakan sepanjang 15 tahun ini.

"Beberapa di kalangan kami (anggota keluarga) ingin mencuba sesuatu: himpunan gambar perjuangan kita sepanjang 15 tahun ini untuk mengembalikan semula negara ini kepada rakyat.

"Jika anda ada gambar anda, saya dan orang-orang lain ketika protes, himpunan dan sebagainya, kongsi bersama-sama kami," katanya.

Haris meminta mereka yang ingin menghantar gambar itu menyertakan sekali nama, acara yang dihadiri, serta apa-apa pesanan ringkas yang ingin disertakan dan dihantar ke alamat emel [email protected].