Skip to main
Logo Malaysiakini

Jempol naik taraf jadi majlis perbandaran

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Majlis Perbandaran Jempol (MPJL) 2022 bagi menaik taraf dan menukar nama Majlis Daerah Jempol (MDJL) sebagai MPJL.

Usul tersebut dicadangkan oleh Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun dan diluluskan Yang Dipertua DUN Datuk Zulkefly Mohamad Omar selepas mendapat sokongan sebulat suara ahli dewan.

Enakman ini telah mula berkuat-kuasa pada 3 Jan 2018.

Terdahulu, Datuk Seri Mohamad Hasan (BN-Rantau) berkata penarafan perbandaran ini dapat meningkatkan mutu perkhidmatan kepada penduduk selain memerlukan kerjasama kerajaan negeri dalam menyelesaikan permasalahan yang dihadapi oleh rakyat di daerah itu.

"Bila sudah dinaik taraf menjadi perbandaran, tahap perkhidmatan kepada rakyat dapat ditingkatkan, terutama dalam aspek pelupusan sisa pepejal kerana negeri ini telah dinobatkan sebagai Negeri Bahagia," katanya ketika membahaskan RUU tersebut di Persidangan DUN di Seremban hari ini.

Sementara itu, Datuk L Manickam (BN-Jeram Padang) berkata kerajaan negeri juga perlu memastikan pembangunan lebih sistematik di Jempol dan sentiasa berusaha memajukan tanah di daerah itu agar menjadi lebih pesat.

Datuk Shamsulkahar Mohd Deli (BN-Serting) pula menyifatkan penarafan tersebut memberi kebaikan dan kesejahteraan kepada rakyat di negeri ini sekali gus menarik pelabur ke daerah itu.

- Bernama