Skip to main
Logo Malaysiakini

Pelarian lari: Polis Kedah lancar Op Kesan, sekat jalan

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Polis Kedah melancarkan Op Kesan bagi mengesan baki 171 pelarian Rohingya yang melarikan diri dari Depot Imigresen Sementara Sungai Bakap, dekat Bandar Baharu kira-kira 4.30 pagi tadi.

Ketua Polis Kedah Wan Hassan Wan Ahmad berkata 171 pelarian itu terdiri daripada 131 lelaki dewasa, 28 wanita dewasa dan 12 kanak-kanak lelaki. 

Beliau berkata selain polis Kedah, operasi mencari turut melibatkan polis Pulau Pinang dan Perak selain Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Unit Anjing Pengesan PDRM (K9).

"Kita juga melaksanakan Op Tutup di mana empat sekatan jalan raya (SJR) dibuat di Seberang Perai Selatan, empat di Bandar Baharu dan lima di Kulim,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, hari ini.

Daripada 528 yang melarikan diri dari depot yang menempatkan 664 orang tahanan itu, seramai 357 telah ditemui termasuk enam yang maut akibat dilanggar kenderaan semasa melintasi Kilometer 168 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) menghala selatan iaitu berhampiran kawasan Jawi.

- Bernama