Skip to main
Logo Malaysiakini

Pembangkang Johor tak namakan calon speaker esok

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Ketika DUN Johor ke-15 bersidang buat pertama kalinya esok, agenda utama ialah upacara angkat sumpah Adun baru dan pemilihan speaker baharu.

Bagaimanapun, blok pembangkang utama Pakatan Harapan (PH) tidak akan menamakan calon speaker kali ini.

Ketua pembangkang Johor, Liew Chin Tong mengesahkan perkara itu kepada Malaysiakini ketika dihubungi.

“Tidak, kami (PH Johor) tidak akan mencalonkan sesiapa,” katanya.

Adun Perling itu juga berkata mesyuarat esok di Bangunan Sultan Ismail, Johor Bahru, akan dipengerusikan oleh setiausaha DUN sehingga speaker baru dipilih.

Sementara itu, Exco Johor Ling Tian Soon memberitahu Malaysiakini bahawa Sultan Johor tidak akan bertitah esok, bermakna istiadat angkat sumpah dan pemilihan jawatan penting dalam dewan akan menjadi satu-satunya perkara utama dalam agenda esok.

Menurut Utusan Malaysia, Adun Rengit Puad Zakarshi berkemungkinan akan menjadi calon speaker BN, dengan Adun Semarang Samsolbari Jamali berkemungkinan menjadi timbalannya.

Puad ialah ahli majlis tertinggi Umno dan juga ketua bahagian Batu Pahat.

Dia dipercayai mempunyai peluang yang lebih cerah untuk dipilih berbanding calon lain, termasuk Adun Sri Medan Zulkurnain Kamisan dan bekas wakil rakyat Rengit Ayub Jamil.

Samsolbari pula ialah setiausaha Umno Johor dan ketua bahagian Ayer Hitam.

Jika laporan itu ternyata betul, ini akan menandakan perbezaan daripada amalan sebelum ini di mana speaker tidak akan dipilih daripada kalangan 56 Adun, terutamanya seorang daripada pihak kerajaan.

Hanya jawatan timbalan speaker akan diduduki oleh Adun daripada gabungan kerajaan.

Ini bagi memastikan semua wakil rakyat boleh menyertai sesi pengundian sekiranya terdapat sebarang usul kerajaan yang memerlukan sokongan majoriti dewan.

Bagaimanapun, tidak jelas sama ada amalan ini masih relevan kerana BN Johor telah memperoleh majoriti besar dalam dewan, memegang 40 daripada 56 kerusi DUN.

Speaker Johor sebelum ini ialah Suhaizan Kayat dari Amanah yang dipilih ke jawatan itu pada 2018 berikutan kemenangan PH di negeri itu, dengan Adun Penggaram dari DAP Gan Peck Cheng sebagai timbalannya.

Suhaizan pernah bertanding pada pilihan raya umum 2018 dan juga pilihan raya negeri 2022 tetapi gagal dipilih sebagai Adun Johor.

Apabila BN menguasai semula kerajaan negeri berikutan Langkah Sheraton pada 2020, pentadbiran menteri besar Umno ketika itu Hasni Mohamad mengekalkan speaker dan timbalan speaker era PH.