Skip to main
Logo Malaysiakini

KATA ADUN | Sistem AP yang membebankan rakyat

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

KATA ADUN | Dalam tempoh dua tahun terakhir ini, kenaikan harga makanan asas jauh melebihi kadar peningkatan gaji rakyat Malaysia.

Salah satu punca utama harga makanan asas yang tinggi adalah sistem approved permit (AP) untuk mengimport makanan. Maka, kerajaan digesa untuk merombak sistem AP dengan segera.

Inilah langkah pertama yang harus diambil kerajaan jika benar mempunyai kesungguhan politik (political will) menangani beban kos sara hidup rakyat.

Memandangkan hampir 60 peratus makanan untuk Malaysia diimport dengan melibatkan kos RM55.5 bilion pada 2020 saja, liberalisasi sistem AP akan hanya menguntungkan rakyat.

Sistem AP yang diperkenalkan oleh kerajaan BN pula hanya menguntungkan sebilangan kecil pihak yang diberikan AP. Pada masa sama golongan terbabit tidak pun menyumbangkan nilai tambah yang signifikan untuk sektor agromakanan negara.

Menerusi sistem sedia ada, hanya pihak yang mempunyai AP saja boleh mengimport makanan asas termasuk beras, ayam, sayur-sayuran dan kelapa sebelum ia kemudiannya dijual kepada pemborong dan peruncit.

Sudahlah golongan itu membuat keuntungan atas angin, pada hakikatnya laba itu pula dibayar dari kocek semua rakyat Malaysia.

Justeru kerajaan harus mengumumkan secara terbuka semua pemegang AP di Malaysia supaya rakyat boleh menilai bahawa sistem ini hanya menguntungkan kroni.

Data Jabatan Perangkaan Malaysia jelas menunjukkan berlakunya ledakan inflasi makanan antara Dis 2019 hingga Feb 2022. Misalnya, harga tomato melonjak 30.6 peratus, iaitu daripada RM5.19 kepada RM6.78 sekilogram. Telur gred A 10 biji pula naik 14.1 peratus (RM3.89 kepada RM4.44), diikuti sekilogram ayam meningkat 17.8 peratus (RM8.03 kepada RM9.46).

Tidak cukup dengan itu harga minyak masak bagi paket 5kg naik hampir 41 peratus (RM20.98 kepada RM29.54).

Pada masa yang sama, kenaikan gaji di Malaysia pula kekal jauh lebih rendah. Berdasarkan data Persekutuan Majikan Malaysia, gaji pekerja tahap eksekutif hanya meningkat sebanyak 4.82 peratus dan 4.4 peratus masing-masing pada 2020 dan 2021.

Sekiranya situasi harga barang asas melonjak lebih tinggi berbanding kadar peningkatan gaji, rakyat Malaysia akan terus sengsara akibat inflasi. Mangsa terbesar sudah tentulah golongan berpendapatan rendah. Kroni pula terus kaya-raya ketika rakyat kekal dihimpit sengsara.

Justeru Malaysia memerlukan perubahan struktur untuk menyelesaikan isu inflasi makanan. Paling penting, sistem AP harus dirombak untuk membolehkan pemborong dan penjual mengimport bahan keperluan asas secara terus.

Liberalisasi sistem AP boleh mewujudkan pasaran yang lebih kompetitif dan seterusnya membantu menurunkan harga makanan asas yang terjejas akibat sistem AP.

Industri agromakanan negara memerlukan anjakan bagi merangsang perkembangan ekonomi negara dan menjamin kesejahteraan hidup rakyat.

Menjelang perayaan Aidilfitri tidak lama lagi, seluruh rakyat mendambakan perhatian kerajaan untuk mendapatkan harga makanan yang lebih murah.

Maka, rombakan sistem AP ini amat penting supaya isu kos sara hidup ini benar-benar diatasi dengan tuntas.


FAIZ FADZIL ialah Adun Permatang Pasir di Pulau Pinang dan anggota Jawatankuasa Amanah Nasional.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.