Skip to main
Logo Malaysiakini

Kerajaan digesa kaji semula dasar penahanan Pati

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Kumpulan hak asasi manusia, Amnesty International Malaysia, menggesa kerajaan mengkaji semula dasar penahanan pendatang tanpa izin (Pati) di negara ini.

Gesaan itu dibuat selepas lebih 500 tahanan etnik Rohingya meloloskan diri dari Depoh Tahanan Imigresen Sungai Bakap, Pulau Pinang, semalam.

Ramai daripada mereka juga dikatakan pencari suaka.

Pengarah Eksekutif Amnesty International Malaysia, Katrina Jorene Maliamauv, berkata umum memang mengetahui kesan trauma yang dialami tahahan terbabit termasuk dalam kalangan yang dikurung dalam tempoh singkat.

"Oleh itu, kerajaan perlu menjawab bukan sahaja mengenai kematian enam individu itu tetapi juga mengapa begitu ramai pelarian, termasuk kanak-kanak, ditahan.

“Kami menggesa kerajaan mengkaji semula dasar penahanan pendatang tanpa izin ini, yang merupakan pelanggaran undang-undang hak asasi manusia antarabangsa.

“Dasar yang tidak mampan ini menyebabkan kesesakan di pusat tahanan dan kini kemalangan yang dahsyat ini,” kata dalam kenyataan semalam.

Katrina berkata kerajaan mesti menyiasat insiden itu dengan telus, manakala Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) pula perlu menjalankan siasatan sendiri bagi menentukan sama ada berlaku pelanggaran hak asasi manusia di depoh tahanan itu.

Mengambil ikhtibar daripada insiden itu, kata Katrina, siasatan berhubung kesesakan yang berlaku juga perlu didokumenkan - terutamanya di Sungai Bakap.

“Siasatan juga harus menentukan berapa banyak pusat tahanan sementara imigresen yang wujud di seluruh negara.

"Lebih banyak peristiwa tragis boleh berlaku jika kerajaan tidak menangani keadaan tidak berperikemanusiaan di pusat tahanan.

"Semak semula dasar penahanan individu atas sebab imigresen, dan memberi kebebasan bergerak sementara menunggu permohonan suaka mereka," katanya.

Dalam kejadian 4.30 pagi semalam, seramai 528 tahanan etnik Rohingya meloloskan diri dari Depoh Tahanan Imigresen Sungai Bakap di Pulau Pinang. Enam daripada mereka kemudian maut dilanggar kenderaan semasa melintasi jalan di Kilometer 168 Lebuh Raya Utara Selatan berhampiran kawasan Jawi, Nibong Tebal.

Kesemua tahanan itu adalah pelarian yang dipindahkan dari Kem Wawasan Langkawi dan ditahan kerana menceroboh perairan negara serta melanggar Akta Imigresen pada 2020.

Tak iktiraf Rohingya

Mereka yang terbunuh terdiri daripada dua lelaki dewasa, dua wanita dewasa dan masing-masing seorang kanak-kanak lelaki dan perempuan.

Setakat 8 malam tadi seramai 351 pelarian berjaya ditahan semula dan polis melancarkan gerakan mencari mereka yang masih bebas.

Seminggu sebelum kejadian, Suhakam mendakwa pihaknya mendapati Jabatan Imigresen masih menahan pelarian Rohingya yang pertama kali ditangkap pada 2020.

Selain itu, Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNHCR) pula didakwa tidak mempunyai akses ke depoh tahanan jabatan itu sejak Ogos 2019,

Ia sekali gus tidak dapat mengesahkan status pelarian mereka.

“Depoh Imigresen bukanlah penjara jangka panjang.

"Suhakam sentiasa meminta tidak menyimpan pelarian Rohingya, jika ada," kata pesuruhjaya Suhakam Jerald Joseph kepada pemberita ketika itu.

Malaysia adalah negara yang tidak mengiktiraf status pelarian Rohingya dan keberadaan mereka di negara ini hanyalah atas dasar kemanusiaan.

Bagaimanapun, Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin memberitahu parlimen setakat 22 Mac lalu, terdapat 4,176 pendatang tanpa izin yang telah ditahan selama lebih setahun, daripada 16,989 tahanan yang tersebar di 18 depoh Jabatan Imigresen di seluruh negara.