Skip to main
Logo Malaysiakini

Ketua MCA Pontian selar Wee lepas diarah mengadap j'kuasa disiplin

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Seorang pemimpin MCA bahagian di Johor hari ini mengecam presiden parti itu, Wee Ka Siong, kerana dianggap mengetepikan kehendak ahli akar umbi dan memberi tekanan dalaman kepada sesiapa yang bersuara.

Kata Tee Siew Keong ketika ini Wee sepatutnya mengutamakan moral pemimpin dan ahli akar umbi MCA, bukannya memberi tekanan.

Menurut ketua MCA Pontian itu, dia juga yakin parti itu sentiasa tahu membezakan di antara sesuatu yang benar dan salah.

“Tetapi pada kenyataannya, saya sangat sedih dan terkejut selepas menerima surat daripada Jawatankuasa Disiplin MCA yang meminta saya hadir memberi keterangan pada tengah hari 22 Apr ini," katanya dalam kenyataan hari ini.

Tee dipanggil jawatankuasa terbabit berhubung kenyataan yang dibuatnya dalam sidang media pada 25 Feb lalu.

Pada sidang media itu dia meminta maaf secara peribadi kepada penyokong dan pengundi di Pontian, selain menjelaskan mengapa dia tidak dinamakan sebagai calon MCA-BN dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Tee - yang dilihat dekat dengan bekas presiden MCA, Chua Soi Lek - bertanding dan menang di kerusi DUN Pulai Sebatang sejak PRU 2004. Bagaimanapun dia kalah kepada Amanah-Pakatan Harapan di kerusi tersebut pada PRU 2018.

Jangan gembira sangat

Apabila Johor mengadakan PRN, MCA menyerahkan kerusi Pulai Sebatang serta Parit Yaani kepada Umno. Sebagai pertukaran, Umno memberikan kerusi Puteri Wangsa kepada MCA.

Calon Umno-BN, Hasrunizah Hassan, menang di Pulai Sebatang dengan kelebihan 6,325 undi. Najib Samuri pula memenangi kerusi Parit Yaani bagi pihan BN dengan kelebihan 294 undi.

Bagaimanapun calon MCA, Ng Yew Aik, gagal memenangi kerusi Puteri Wangsa selepas dikalahkan calon Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Amira Aisya, yang mendahului dengan perbezaan 7,114 undi.

Kata Tee, dia yakin tiada sebarang kesalahan dilakukan sehingga jawatankuasa disiplin parti perlu memanggilnya.

Semasa PRN Johor, tambah Tee, dia juga turun membantu calon BN berkempen.

Pada masa sama Tee memberi amaran agar Wee tidak terlalu gembira dengan prestasi ditunjukkan MCA dalam PRN lalu ketika PRU ke-15 semakin menghampiri.

"Presiden MCA sepatutnya memberi keutamaan berkhidmat kepada rakyat berbanding membuang masa dan tenaga menyasar serta memberi tekanan kepada orang lain dalam parti.

"Presiden perlu meningkatkan moral ahli dan pemimpin akar umbi parti kerana pemilihan calon-calon di Johor dalam kalangan individu yang tidak memegang jawatan dalam parti sudah mengecewakan mereka," katanya.

Tee juga berkata, Chua sebelum ini berkata benar apabila menggambarkan Wee sebagai seorang tokoh yang suka "mengelak masalah".

“Apabila berdepan dengan isu besar, dia hanya boleh menjawab ‘semua orang ada mak ayah, jangan lepaskan kemarahan pada Wee Ka Siong’.

“Rakyat memberi sokongan kepada kita untuk memilih pemimpin yang berani menghadapi dan menyelesaikan isu rakyat, bukan pemimpin yang hanya pandai bercakap dan mengabaikan tanggungjawab mereka,” katanya.

Tee juga menegaskan ketika ini dia tidak memegang sebarang jawatan penting dalam parti atau menjadi Adun lagi.

"Adakah presiden benar-benar berhasrat memecat saya dari parti? Adakah dia mahu menggugurkan keahlian biasa saya yang kini menjadi satu-satunya hubungan saya dengan MCA?" soalnya.

[Baca berita penuh]