Skip to main
Logo Malaysiakini

Rozaimi: Tarekat Naqsyabandiyah al-Aliyyah perlu penjelasan lanjut

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Rektor Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs), Prof Madya Dr Muhamad Rozaimi Ramle menyatakan keputusan yang dicapai pihak berwajib mengenai Tarekat Naqsyabandiyah al-Aliyyah masih perlu penjelasan lanjut.

Untuk rekod, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) kali ke-48 pada 3 April 2000 telah bersepakat untuk melarang pengamalan Tarekat Naqsyabandiyah al-Aliyyah Syeikh Nazim al-Haqqani kerana bertentangan dengan fahaman akidah Ahli Sunnah Waljamaah dan menyeleweng dari ajaran Islam.

Namun, keputusan tersebut tidak lagi terpakai setelah Muzakarah Jawatankuasa Fatwa MKI kali ke-117 pada tahun 2020 memberi kebenaran kepada Tarekat Naqsyabandiyah al-Aliyyah untuk diamalkan.

Ketika dihubungi Malaysiakini baru-baru ini, Rozaimi berkata pihaknya tidak membantah Majlis Raja-Raja tetapi meminta penjelasan lanjut tentang syarat yang diletakkan pakar untuk membenarkan Tarekat Naqsyabandiyah al-Aliyyah diamalkan.

“Itu bukan keputusan yang jelas sebaliknya mengelirukan kerana dia hanya letakkan satu syarat, nak amal boleh tetapi kena tengok bercanggah atau tidak dengan Al-Quran dan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

“Jadi sebab itu benda ini menimbulkan polemik dan keraguan kerana bila dibuat keputusan macam itu, apa sebenarnya yang bercanggah dan apa yang tidak bercanggah? Tidak dinyatakan awal-awal secara terperinci, bagaimana masyarakat awam hendak tahu,” katanya.

Rozaimi juga memetik beberapa amalan yang menurutnya diamalkan Tarekat Naqsyabandiyah al-Aliyyah yang dirasakan janggal kepada masyarakat di Malaysia.

“Berdasarkan pembacaan saya, memang ada masalah tarekat ini. Orang Malaysia pun sebelum ini tidak pernah tengok amalan mereka lakukan. Contohnya macam perbuatan tunduk di kubur dan sebagainya, benda-benda itu memang tidak biasa dibuat di Malaysia. Sebab itu kita minta penjelasan.

“Kenapa dulu diharamkan, kenapa dulu dilarang, kenapa dulu dikatakan sesat tetapi sekarang sudah boleh dan dapat kelulusan?” soalnya.

Rozaimi juga menyentuh tentang penulisan dan bahan ilmiah yang dikeluarkan Syeikh Nazim al-Haqqani yang telah diharamkan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN).

“Kemudian, ada juga buku yang diharamkan oleh KDN yang ada kaitan dengan Nazim Haqqani ini. Kenapa diharamkan? Mesti ada benda yang tidak kena dalam itu? Sangat pelik semua ini.

“Banyak perkara yang kami baca dalam buku yang berkaitan dengan aliran mereka ini yang bermasalah. Sebagai contoh, kenyataan yang disebarkan melalui laman Facebook Adnan Kabbani, anak murid Nazim Haqqani, menyebutkan bahawa kematian Nazim al-Haqqani bukan kematian biasa tetapi dia dijemput sendiri oleh Nabi SAW, 124,000 nabi-nabi dan semua sahabat baginda dan Imam Mahdi. Ini kepercayaan apa ini?” tambahnya lagi.

Rozaimi berkata sekiranya kajian mendalam sudah dibuat dalam memberi pengiktirafan kepada Tarekat Naqsyabandiyah al-Aliyyah, ia seharusnya dikongsikan kepada masyarakat umum secara jelas dan terperinci.

“Kita tidak ada masalah kalau dah buat kajian, tetapi keputusan yang dikeluarkan itu tidak menggambarkan keputusan kajian pun. Contoh macam saya buat kajian, lepas itu saya kata, ia boleh diamalkan dengan syarat tidak bercanggah dengan Al-Quran dan Ahli Sunnah Waljamaah. Tetapi saya tidak senaraikan apa yang bercanggah, itu bukan kajian.

“Kajian adalah bila kita senaraikan apa yang bercanggah dan apa yang tidak bercanggah,” katanya.

Perspektif berbeza

Bagaimanapun, Pensyarah Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Prof. Madya Dr Ahmad Najaa’ Mokhtar, menegaskan perkara yang melibatkan hukum berubah-ubah mengikut keadaan setempat.

Katanya, ada kemungkinan perkara baru yang dulu samar-samar, tetapi sekarang lebih jelas melalui kajian semula.

“Kajian semula ke atas Tarekat Naqsyabandiyah al-Aliyyah ini adalah kerana kajian lalu terdapat perkara-perkara yang tidak jelas.

“Jadi, pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengambil inisiatif untuk menyemak semula kajian ini secara terperinci, maknanya bukan dalam keadaan terburu-buru dan berat sebelah,” katanya.

Malah, Ahmad Najaa’ juga berkata sepanjang dia terlibat dalam pengkajian penuh terhadap tarekat tersebut, dia mendapati ia adalah sebuah kajian yang menyeluruh, tepat dan tidak ada kesalahan dalam tarekat tersebut.

“Saya pun merujuk kepada fatwa Negeri Sembilan kerana tarekat ini diamalkan di Negeri Sembilan dan Jabatan Mufti Negeri Sembilan juga telah mempertahankan bahawa tarekat ini tidak ada keraguan dan sama seperti dengan tarekat-tarekat lain yang boleh diamalkan.

“Jadi, apabila kajian semula telah dibuat, keputusan yang terdahulu tidak boleh dijadikan sebagai rujukan. Itu yang menjadi isu dalam masyarakat sekarang ini, mempersoalkan kenapa dahulu haram, sekarang halal.

“Mereka menjadikan perkara dahulu itu sebagai rujukan, mempersoalkannya sehinggakan perkara yang baharu ini tidak dilihat,” katanya.

Ahmad Najaa’ juga menegaskan kajian semula ini dibuat kerana terdapat perkara yang tidak jelas.

Tambah Ahmad Najaa lagi, orang ramai mudah mengaitkan tarekat ini dengan perkara yang salah dan kemudian pantas menjatuhkan hukum sesat.

“Perlu diingat Syeikh Nazim itu menjelajah serata dunia dan bukan hanya di Malaysia sahaja.

“Jika dilihat dalam kesemua video tular itu, Syeikh Nazim pergi serata dunia. Tetapi, adakah dia (Syeikh Nazim) yang berperilaku sebegitu ataupun anak muridnya?

“Jadi, jangan semudah itu kita nak menuduh orang sesat atau orang terkeluar daripada ajaran Islam dengan melihat di luaran sahaja,” katanya.

Katanya lagi, kajian ilmiah yang sepatutnya dan yang betul adalah melalui ulama dan bukannya berdasarkan video YouTube semata-mata.

Ahmad Najaa’ juga berpuas hati dengan usaha pihak Jakim bagi menjawab segala keraguan untuk mereka yang beramal di bawah tarekat ini.