Skip to main
Logo Malaysiakini

Hari bumi: Segera pulihkan kerosakan alam - Tengku Hassanal

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini menyeru lebih ramai anak muda menggalas tanggungjawab dalam aktiviti pemulihan alam sekitar demi kelestarian alam.

Baginda bertitah tindakan memulihkan kerosakan alam semula jadi dan perubahan iklim memerlukan tindakan segera dan penglibatan setiap individu selain daripada pihak seperti kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

"Kita perlu bertindak segera di setiap peringkat dan perancangan jangka panjang perlu bermula daripada peringkat akar umbi.

"Tidak cukup dengan hanya menjadi pemerhati kerana setiap daripada kita perlu memikul tanggungjawab ini bersama," titah baginda menerusi kenyataan sempena Hari Bumi hari ini.

Tengku Hassanal turut mengingatkan semula matlamat sambutan Hari Bumi yang disambut pada 22 April setiap tahun sejak 1970 yang bertujuan mempelbagaikan, mendidik dan memacu gerakan kelestarian alam sekitar di seluruh dunia.

Walaupun kesedaran dan keprihatinan terhadap alam sekitar makin meluas sejak lima dekad lalu, namun Tengku Hassanal bertitah kegiatan manusia yang merosakkan alam sekitar masih berlaku.

Selain itu, baginda juga merujuk kepada laporan 'UN's Intergovernmental Panel on Climate Change' (IPCC) pada tahun ini yang menegaskan bahawa perubahan iklim telah mengakibatkan banyak kejadian bencana seperti ribut, banjir dan kebakaran hutan berlaku dengan lebih kerap dan teruk.

"Saya melihat sendiri banjir besar yang melanda Pahang pada Disember 2021 dan Januari lepas dengan angka kematian dan kehilangan harta benda yang amat mendukacitakan," titah baginda dan menyifatkan transformasi perlu dilakukan segera demi kelestarian alam sekitar.

- Bernama