Skip to main
Logo Malaysiakini

Nadiah Wan wanita pertama ketuai Kelab Harvard Malaysia

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Ketua pengawai eksekutif (CEO) Hospital Thomson Kota Damansara Nadiah Wan, 38, dipilih sebagai wanita pertama sebagai presiden Kelab Harvard Malaysia (HCM), sekali gus yang termuda.

Dia dipilih dalam mesyuarat agung tahunan (AGM) kelab ke-38 semalam.

Nadiah dalam ucapan sulungnya sebagai presiden berkata akan memfokuskan komitmen memajukan misi Universiti Harvard membangunkan masyarakat dan pemimpin rakyat melalui kuasa pendidikan dan sastera liberal.

“HCM akan terus memanfaatkan kekuatan Universiti Harvard dan alumninya untuk meningkatkan kesedaran tentang kuasa pendidikan bagi mengubah kehidupan pelajar dan memajukan lagi misi pendidikan di Malaysia,” katanya.

HCM yang diasaskan pada 1984 dan kini mempunyai lebih 300 ahli di Malaysia yang terdiri daripada alumni dan kakitangan akademik universiti terkemuka dunia itu.

Presiden HCM yang lalu termasuk bekas ketua setiausaha negara Ahmad Sarji Abdul Hamid, bekas timbalan ketua menteri Pulau Pinang Dr Goh Cheng Teik dan bekas timbalan gabenor Bank Negara Dr Lin See Yan.

Tahun lepas, majalah kewangan terkemuka Forbes menyenaraikannya dalam senarai Ahli Perniagaan Wanita Berpegaruh.

Dalam senarai itu juga, dia juga menjadi wanita termuda di seluruh Asia Pasifik.