Skip to main
Logo Malaysiakini

PAS kekal istiqamah bersama PN, kerajaan

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

PAS tidak akan sesekali bekerjasama dengan idea "khemah besar" Pakatan Harapan (PH) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 tidak lama lagi.

Sebaliknya kata Presiden PAS, Abdul Hadi Awang, parti itu akan kekal menjalinkan kerjasama sekarang dalam dengan Perikatan Nasional (PN) sekali gus kerajaan semasa.

"Kenyataan setiausaha agung (tiada sebarang kerjasama) sudah cukup. Kita masih kerjasama dengan PN... kerjasama dengan PN, kerjasama dengan kerajaan.

"Tak ada (kerjasama dengan PH)... tak berlaku," katanya kepada media di Marang, Terengganu hari ini.

Pada 18 Apr lalu, PAS memaklumkan yang parti itu menolak sebarang cadangan untuk bekerjasama dengan parti pembangkang dalam PRU akan datang.

Dalam satu kenyataan, Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan yang menggesa supaya gabungan politik kerajaan diperkuatkan, menegaskan tiada kerjasama dengan parti pembangkang “khususnya PH”.

Ia dibuat ketika sesetengah pihak mencadangkan semua parti yang berada di luar BN bekerjasama sebagai langkah memperkuatkan cabaran mereka menjelang PRU ke-15.

Pada masa sama PH pula mengemukakan idea "khemah besar" sebagai suatu inisiatif menggembleng parti pembangkang untuk mendepani parti kerajaan sekarang.

Untuk rekod ketika menjadi pembangkang sebelum Feb 2020 lalu PAS memeterai kerjasama secara rasmi dengan Umno melalui Muafakat Nasional. Bagaimanapun PAS secara sepihak menganggotai PN yang ditunjangi Bersatu selepas mereka menjadi kerajaan.

Pada masa sama hubungan Umno-PAS perlahan-lahan menjadi keruh dan tegang dengan kedua-dua pihak melontarkan kritikan keras antara satu sama lain.

Presiden Amanah Mohamad Sabu baru-baru ini menegaskan sudah pihaknya tidak akan sedia bekerjasama dengan PAS atau Bersatu.

Abdul Hadi berkata PAS sudah pernah bekerjasama selama 20 tahun dengan parti dalam PH dan berasakan ia sudah memadai.

"Biasanya kerjasama politik (yang berakhir) tidak akan berulang," katanya lagi.