Skip to main
Logo Malaysiakini

MH370: Semakan terbaru Australia masih terdapat 'jurang' data ketara

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Semakan terbaru data sonar yang dikumpul semasa pencarian pesawat MH370 gagal menemui sebarang kesan, namun terdapat ‘jurang’ data yang ketara bermaksud masih tedapat kemungkinan petunjuk baru.

Dalam satu kenyataan bersama semalam, Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB) dan Geosains Australia berkata semakan itu mengenal pasti 11 "kontak" baru yang tidak dianalisis semasa carian asal.

Lapan daripada objek itu dinilai berkemungkinan mempunyai ciri geologi manakala tiga lagi berkemungkinan berasal dari objek buatan manusia, tetapi tiada satu pun daripadanya konsisten dengan serpihan pesawat.

“Data ini membolehkan kami mengesan objek sekecil 30cm panjang dan 30cm lebar. Jika pesawat itu berada dalam kawasan yang kami kesan, data sonar akan menunjukkan medan serpihan objek yang sangat memantulkan cahaya,” kata CEO Geosains Australia James Johnson.

"Laporan Geosains Australia menyatakan bahawa sangat tidak mungkin terdapat medan serpihan pesawat dalam kawasan yang disemak semula," kata ketua pesuruhjaya ATSB Angus Mitchell.

Semakan itu mengambil masa dua bulan untuk menyaring data sonar resolusi tinggi bagi sekitar 4,900km persegi dasar laut di Lautan Hindi, berjumlah kira-kira 81,000 fail dan sebesar 3 terabait.

Walau bagaimanapun, laporan itu juga mencatatkan jurang yang ketara dalam data yang disemak.

Laporan Geosains Australia itu bertarikh 8 Mac tetapi hanya diumumkan semalam.

Ia mengakui bahawa kawasan semakan itu hanya 29 peratus daripada kawasan 17,000km persegi yang diminta ATSB.

“Kawasan selebihnya (71 peratus) mengandungi sama ada data carian (kapal) Ocean Infinity, data sonar berbilang pancaran resolusi rendah bawaan kapal (>30m) yang diperoleh semasa Fasa 1, atau tiada data,” kata laporan itu.

Data resolusi rendah telah diabaikan kerana ia tidak mempunyai resolusi yang diperlukan untuk mengenal pasti serpihan pesawat. Data yang dikumpul oleh kapal Ocean Infinity yang diupah Malaysia pada Januari 2018 tidak dianalisis kerana Geosains Australia tidak mempunyai akses kepada data tersebut.

Di samping itu, terdapat 72.72km persegi "data holidays" di mana data tidak wujud atau berkualiti rendah atas pelbagai sebab seperti kegagalan peralatan dan pengelakan rupa bumi.

Kebanyakan "data holidays" telah dikenal pasti dalam analisis sebelumnya, tetapi 1.57km persegi lagi data yang hilang telah dikenal pasti dalam semakan baru.

Laman web berita penerbangan Airline Ratings memetik jurutera aeroangkasa British Richard Godfrey berkata "pencarian sebelum ini pada dasarnya telah melangkau sebahagian besar kawasan carian kerana penggunaan peralatan dengan prestasi (resolusi) yang tidak mencukupi untuk mencari sasaran.

“MH370 boleh saja terperangkap di salah satu kawasan yang tidak belum benar-benar dicari ini.”

Sebagai perbandingan, kawasan 17,000km persegi yang diminta untuk semakan adalah lebih besar daripada saiz negeri Kelantan, sementara kawasan 4,900km persegi yang ditinjau sebenarnya adalah kira-kira separuh daripada saiz Kedah. 72.72km persegi kawasan yang dianggap 'data holidays' adalah hampir dua kali ganda saiz Putrajaya.

ATSB telah meminta Geoscience Australia untuk menyemak semula data carian untuk kawasan dalam lingkungan 40 batu nautika dari tapak yang berpotensi yang telah dikenal pasti oleh Godfrey selepas dia menerbitkan satu siri kertas kerja menganalisis anomali dalam rangkaian radio amatur WSPRnet yang mungkin disebabkan oleh gangguan daripada MH370.

[Baca berita penuh]