Skip to main
Logo Malaysiakini

Tee: Dua kali saya diheret ke lembaga disiplin sebab presiden MCA

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Bekas ADUN Pulai Sebatang MCA Tee Siew Keong berkata dia menghadap lembaga tatatertib parti selepas aduan terhadapnya difailkan oleh p-Presiden MCA Wee Ka Siong.

Tee, yang menyuarakan rasa tidak puas hati selepas MCA menyerahkan kerusi Pulai Sebatang kepada Umno, berkata ini adalah kali kedua dia menghadap lembaga disiplin di mana Wee merupakan pengadu.

"Selepas sembilan tahun, saya sekali lagi, dipanggil semula oleh lembaga disiplin MCA. Pengadu bagi kedua-dua pendengaran adalah sama iaitu presiden MCA," katanya.

Tee berdepan tindakan tatatertib selepas mendakwa kepimpinan MCA yang diterajui Wee sengaja melepaskan kerusi Pulai Sebatang supaya pesaingnya dalam parti tidak mempunyai kerusi untuk bertanding.

Tee, yang menghadap lembaga disiplin semalam, mengucapkan terima kasih kepada pengerusi lembaga itu, Han Choon Kim kerana "mendengar kebenaran sepenuhnya dan bukannya cerita berat sebelah".

"Saya harap dapat keadilan," kata Tee.

Tee sebelum ini bertanding di Pulai Sebatang pada setiap pilihan raya sejak 2004.

Dia yang sealiran dengan bekas presiden MCA Chua Soi Lek, mendakwa Wee cuba untuk menyingkirkannya.

Chua dan Wee berada dalam kem berlawanan.

Wee menafikan cuba menyingkirkan saingannya dalam parti.

Katanya kemarahan Tee berpunca daripada rasa kecewa kerana tidak dapat bertanding dalam pilihan raya Johor bulan lepas.