Skip to main
Logo Malaysiakini

DAP, PSB mulakan rundingan pada Isnin

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Timbalan Pengerusi DAP Sarawak, Alice Lau mengumumkan pihaknya dan Parti Sarawak Bersatu (PSB) akan memulakan rundingan esok bagi membentuk kerjasama dalam pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Lau memberitahu Borneo Post semalam bahawa dia bersama Bendahari DAP Sarawak, Chiew Chiu Sing dan Setiausaha DAP Sarawak, Alan Ling akan mewakili parti itu, manakala Presiden PSB Wong Soon Koh juga bakal turut serta dalam rundingan tersebut.

“PRU ke-15 akan diadakan pada bila-bila masa dan ada kemungkinan ia diadakan selepas Hari Raya atau selepas Hari Gawai,” katanya sambil menambah perbincangan akan tertumpu kepada soal ideologi dan pilihan calon.

"Sekiranya rundingan itu berjaya, kita mungkin akan mengikat parti pembangkang lain untuk berbincang bagi membentuk gabungan," katanya.

Sementara itu Lau juga berharap undang-undang antilompat parti akan digubal tidak lama lagi dengan mendakwa Malaysia menjadi bahan ejekan apabila tiga perdana menteri dilantik dalam satu pilihan raya.

Awal bulan ini, Pengerusi DAP Chong Chieng Jen, berkata ketika berada dalam PH, DAP Sarawak mempunyai autonomi penuh untuk membentuk pakatan dengan mana-mana parti politik di negeri itu.

“Daripada keputusan Pilihan Raya Sarawak 2021, nampaknya terdapat keperluan untuk parti pembangkang utama di Sarawak bekerjasama untuk berdepan Gabungan Parti Sarawak (GPS),” katanya.

PH mengalami kekalahan besar di Sarawak apabila DAP hanya memenangi dua daripada 24 kerusi yang ditandinginya manakala PKR tersingkir di semua 28 kerusi pada pilihan raya negeri lepas.

Amanah yang bertanding di lapan kerusi juga tewas kesemua kerusi.

Keputusan akhir menyaksikan GPS membentuk kerajaan dengan majoriti besar selepas memenangi 76 daripada 82 kerusi, manakala pembangkang memperoleh enam kerusi melalui DAP dan PSB.