Skip to main
Logo Malaysiakini

Jawatankuasa khas golongan rentan bukti Rina tak buat kerja - Yeoh

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Bekas timbalan menteri Hannah Yeoh berkata Jawatankuasa Khas Kabinet Melindungi Golongan Rentan yang diumumkan perdana menteri membuktikan kegagalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Rina Harun.

"Kalau ada jawatankuasa baharu perlu ditubuhkan seperti ini menunjukkan menteri wanita (Rina) tak buat kerja saya rasa, kerana Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat memang tanggungjawab mereka untuk jaga golongan rentan kerana ia ada dalam skop kementerian itu," kata Yeoh seperti dilapor Free Malaysia Today.

Ahli Parlimen Segambut itu berkhidmat sebagai timbalan menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat semasa pentadbiran Pakatan Harapan.

Semalam, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata jawatankuasa berkenaan akan ditubuhkan untuk menjaga kebajikan golongan rentan terutamanya kanak-kanak, orang kurang upaya, wanita dan warga emas.

Jawatankuasa itu dipengerusikan Ismail sendiri dan mempunyai wakil daripada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Kementerian Dalam 'Negeri, Kementerian Pendidikan, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Kementerian Kesihatan dan Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).

Dia berkata jawatankuasa itu akan memastikan semua pusat jagaan dikendalikan mengikut prosedur selaras dengan Akta Pusat Jagaan 1993.

"Dalam hal yang sama, jawatankuasa ini juga akan melihat operasi institusi pengajian agama seperti pusat tahfiz yang tidak berdaftar dan yang tidak diurus dengan baik," kata Ismail.

Sementara itu Yeoh berkata, kes penderaan membabitkan remaja down sindrown Bella berlaku bukan kerana negara tidak mempunyai undang-undang mencukupi, sebaliknya kekurangan penguatkuasaan.

“Kalau lihat kes Bella menunjukkan bukan tak cukup undang-undang, tapi kita sebenarnya sudah ada Akta Kanak-kanak, isunya kita selalunya kekurangan penguatkuasaan yang buat pemantauan di rumah-rumah kebajikan, rumah yang menjaga kanak-kanak," katanya.

Katanya, data menunjukkan negara hanya mempunyai hampir 200 pelindung bagi kira-kira sembilan juta kanak-kanak.